Tiga Suspek Godam ATM Ditahan Polis

Kuala Lumpur – Tiga lelaki Amerika Latin yang mungkin mempunyai kaitan dengan kes godam 17 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik empat buah bank yang melibatkan kerugian RM3.1 juta, baru-baru ini ditahan di sebuah hotel di Jalan Thambipillay, Brickfields, di sini semalam.

Kesemua suspek ditahan hasil maklumat pihak berkuasa Thailand yang memburu mereka kerana terbabit dalam beberapa kes memecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di negara itu.

Mereka yang dikenali sebagai Heiser Land Pineda Cespedes, John Jiro Vanedas Chaves dan Paneda Cespedes Maurico ditahan dalam serbuan pada pukul 4 pagi selepas polis mendapat maklumat mereka berjaya melepasi sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu tetapi enggan mengulas mengenai kaitan mereka dengan kes godam mesin ATM besar-besaran di negara ini.

Beliau berkata, kesemua mereka kini direman untuk siasatan lanjut agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan.

“Pada awal pagi semalam, sepasukan polis telah menahan tiga lelaki Amerika Latin di sebuah hotel dan tangkapan itu dibuat berhubung jenayah pecah dan kecurian wang mesin ATM.

“Kesemua mereka direman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kecurian wang dari 17 mesin ATM di beberapa buah negeri yang dilakukan sekumpulan suspek dipercayai warga Amerika Latin.

Mereka hanya menggunakan pemain cakera optik yang berisi virus dikenali sebagai ulssm.exe untuk mengeluarkan wang dalam mesin terbabit.

Sehingga kini, polis masih gagal memberkas suspek yang terlibat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.