PAU 2014 Beri Fokus Kejayaan BN Dalam PRK

Kuala Lumpur – Perhimpunan Agung UMNO 2014 pada 25 hingga 29 November depan akan memberi fokus kepada kejayaan kempen Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata anggota perwakilan akan membahaskan model kempen jentera BN yang berkesan sehingga memenangi beberapa PRK selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

“Sebagai contoh kita boleh ulas bagaimana kejayaan kita (BN) menang di PRK Pengkalan Kubor dengan majoriti yang bertambah dan boleh dijadikan panduan menghadapi PRU akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan BN memenangi PRK di kawasan lawan iaitu di Teluk Intan, Perak juga boleh dijadikan topik dalam perbahasan perwakilan.

BN memenangi empat daripada tujuh PRK selepas PRU 2013 iaitu di Kuala Besut, Terengganu pada Julai 2013; Balingian, Sarawak (Mac 2014); Teluk Intan, Perak (Mei 2014); dan Pengkalan Kubor, Kelantan pada September lepas.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata selain isu politik, Perhimpunan Agung UMNO juga akan memberi penekanan kepada isu ekonomi selaras dengan hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

“Hal-hal berkaitan ekonomi rakyat termasuk isu Cukai Barang dan Perkhidmatan, Bajet 2015 akan disentuh oleh anggota perwakilan dalam perbahasan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.