Muhdalena Berjaya Ditangkap Semula Kurang Dari 24 Jam

Johor Bahru – Muhdalena Ahmad yang melarikan diri dari tahanan polis di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini semalam, berjaya ditangkap semula di Ayer Keroh, Melaka awal pagi tadi, lapor portal berita New Straits Times.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Mohktar Shariff, Muhdalena ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) sekitar jam 3.05 pagi tadi selepas kurang 24 jam dia melarikan diri.

“Dia kini dalam tahanan polis dan kami telah memperoleh perintah tahanan reman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari tahanan,” kata beliau kepada New Straits Times, sebentar tadi.

Wanita berusia 30 tahun itu pernah mengemparkan negara dengan kejadian amuk di Kompleks B Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya dua tahun lalu.

Muhdalena yang ditahan di Hospital Permai, Tampoi, di sini oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya, Jun lalu itu dikatakan dimasukkan ke HSA kerana melahirkan seorang bayi lelaki, tiga hari lalu.

Bagaimanapun, Muhdalena didapati tiada di katil hospital berkenaan kira-kira jam 9 pagi semalam selepas dikatakan memberi alasan untuk keluar ke tandas tanpa pengawasan anggota polis.

Muhdalena yang juga bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menghadapi empat pertuduhan berhubung kejadian amuk bersama seorang lelaki di Kompleks B, JPM, Presint 1 di Putrajaya, pada 9 Julai 2012.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.