Maal Hijrah : Umat Islam Perlu Bersepadu Dalam Agenda Tegakkan Syiar Dan Syariat – Najib Razak

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak, berkata prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial perlu dijadikan asas bermasyarakat dan kehidupan rakyat Malaysia yang harmoni.

Dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah esok, Perdana Menteri berkata prinsip inilah yang digarap bersama Gagasan 1Malaysia dan semangat peristiwa Hijrah ke dalam agenda transformasi nasional.

“Tarikh 1436 Hijrah ini mengingatkan kita kepada penetapan takwim Islami oleh Amirul Mukminin Saiyidina Umar al-Khattab ra yang juga satu bentuk inovasi dalam urus tadbir terbaik pemerintahan Khilafah Islamiah pada waktu itu.

“Sudah tentu Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif sentiasa mencontohi serta menjiwai roh dan semangat peristiwa hebat sebagai tunjang kepada transformasi dan pembangunan negara yang realitinya mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum,” katanya.

Sambil memanjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT serta selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, Perdana Menteri berkata umat Islam perlu bersepadu usaha dalam agenda menegakkan syiar dan syariat.

“Isyarat inilah yang dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT di dalam surah al-Anfaal ayat ke-73 yang bermaksud: Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, berpandukan kepada semangat Hijrah itulah beliau membentangkan ‘Bajet Tahun 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat’ bagi terus memperkukuh kemapanan ekonomi, memperkasa transformasi dan mendahulukan keperluan rakyat.

“Harapan kita, Malaysia akan berkembang dan terus berkembang melalui pelaksanaan program-program transformasi ekonomi yang telah kita rancang dan laksanakan,” katanya.

Najib juga berkata, kejayaan Malaysia menduduki kerusi Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) adalah bukti pengiktirafan dunia kepada Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia.

Malah, katanya, perkara itu juga perlu dilihat sebagai satu penerimaan dunia kepada pendekatan wasatiyyah yang berpaksikan Maqasid Syariah dalam pentadbiran negara.

“Akhir kalam, marilah kita sama-sama berdoa agar kehadiran tahun 1436 Hijrah ini menghampirkan lagi kita kepada ketakwaan kepada Allah SWT. Semoga tema ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ ini, menjadi peneguh kepada cita-cita kita semua,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.