Kerajaan Negeri Setuju berikan Sumbangan Baikpulih 40 Rumah Ikut Tahap Kerosakan – Azmin

Klang – Kerajaan Selangor bersetuju memperuntukkan dana berjumlah RM753,000 menerusi beberapa agensinya bagi membaik pulih kawasan penempatan termasuk jeti nelayan yang mengalami kerosakan teruk berikutan kejadian ribut taufan di Pandamaran, Klang, Selasa lalu.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata daripada jumlah itu, RM600,000 diperuntukkan menerusi melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk membaik pulih bumbung di tiga blok kediaman yang rosak dan menggantikan tangki air di Blok Flat Pandamaran Permai Indah.

Katanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga sudah menampung kos kerja pembaikan di Flat PKNS Pandamaran Jaya dan dijangka siap hari ini.

“Kerajaan negeri juga bersetuju memberikan sumbangan sagu hati membaikpulih kerosakan pada kerangka kayu dan penggantian bumbung untuk lebih 40 rumah mengikut tahap kerosakan yang akan dinilai Pejabat Daerah dan Tanah Klang.

“Kos bagi maksud ini dianggarkan berjumlah RM50,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan itu dipersetujui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.

Azmin berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Klang bersama LUAS, membina semula Jeti Nelayan Sungai Aur yang rosak dengan kos anggaran berjumlah RM30,000.

Majlis Perbandaran Klang, katanya, sudah diberikan dana RM73,000.00 untuk kerja pembersihan sisa runtuhan, sampah sarap, pemotongan dan pembersihan pokok yang tumbang berikutan bencana terbabit.

Dalam perkembangan lain, Azmin berkata MMKN bersetuju melaksanakan Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi bertemakan “Terjah & Musnah Aedes Negeri Selangor 2014” bertujuan meningkatkan tindakan pencegahan dan kawalan denggi di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, pelan tindakan itu akan memberi fokus kepada tiga pendekatan utama iaitu kawalan dan tindakan, aktiviti kesedaran dan promosi, serta pemantauan secara berterusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.