Alyah Tidak Bergantung Pada Suami Untuk Naik

Petaling Jaya – Datin Alyah, penyanyi hebat bervokal tinggi tidak pernah menggunakan pengaruh suaminya yang juga pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS untuk menaikkan namanya dalam industri muzik.

Norhasliah Abu Hassan atau lebih dikenali sebagai Alyah dalam industri muzik tanah air berkata, mereka tidak pernah mencampur-adukkan urusan profesional dan peribadi dalam rumah tangga mereka dan kejayaannya sebagai penyanyi adalah usaha kerasnya selama ini.

“Benar suami saya adalah antara individu terbaik dalam kerjayanya namun untuk mengatakan saya mengambil kesempatan atas pengaruhnya sama sekali tidak benar. Saya seorang yang berpijak pada bumi yang nyata dan segala pencapaian diperolehi sekarang adalah atas usaha keras dan bukannya kerana pengaruh sesiapa,” katanya.

Alyah yang ditemui pada majlis pengumuman pencalonan akhir Anugerah Industri Muzik ke 21 (AIM 21) turut tercalon dalam kategori Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Sesal Separuh Nyawa hasil ciptaan Rizal Tiga dan Adil AF manakala lirik ditulis oleh Alyah dan Shah Shamsiri itu mengakui bahawa suaminya ada memberikan nasihat mengenai beberapa perkara berhubung kerjayanya namun memberitahu ia secara tidak langsung.

Ramli dan Alyah sebelum ini mendatangkan kontroversi apabila mereka dikatakan bernikah secara rahsia di Batam, Indonesia pada 18 Mac 2013 dan perkahwinan itu terbongkar apabila sekumpulan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi, 28 Ogos lalu.

Menurut Alyah, kehidupannya sebagai isteri berjalan lancar dan berharap akan dikurniakan cahaya mata bagi menyerikan rumah tangga mereka.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan pada usia sekarang apa yang saya harapkan akan dikurniakan anak secepat mungkin,” ujarnya.

Ditanya mengenai kebarangkalian mengadakan majlis resepsi, Alyah menegaskan beliau menyerahkan perkara tersebut kepada suaminya untuk membuat keputusan.

Dalam pada itu, Alyah berkata beliau bersyukur apabila lagu Sesal Separuh Nyawa tercalon dalam AIM 21 pada tahun ini selepas lapan tahun tidak disenaraikan sebagai calon akhir dan pencalonan tersebut memberi makna besar kepadanya namun tidak meletakkan sebarang harapan untuk membawa pulang trofi.

“Ini adalah pencalonan kedua saya selepas lapan tahun dan saya sangat bersyukur lagu Sesal Separuh Nyawa mendapat tempat dalam lima terbaik selepas kali terakhir dicalonkan lapan tahun lalu menerusi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.