Aksi Pergaduhan Bantu Hidupkan Anak Jantan

Petaling Jaya – Sesuai dengan judulnya, babak dan aksi pergaduhan yang ditonjolkan dalam filem kedua arahan Faizul A Rashid ini memang menjadi. Koreografi seni mempertahankan yang ditonjolkan sememangnya membantu menghidupkan penceritaan filem aksi terbaharu lakonan Farid Kamil dan Bront Palarae ini.

Kemampuan bintangnya untuk beraksi lasak dan melakukan lagak ngeri sendiri, dengan sokongan pakar dari Thailand, ia nyata memperkuatkan filem Anak Jantan. Bahkan, aksi yang dipaparkan seperti tidak jauh berbeza dengan babak lasak mahupun pertarungan yang sering kita saksikan dalam filem dari Negara Gajah Putih itu.

Farid dan Bront sendiri menggalas amanah yang diletakkan pada bahu mereka dengan baik, malah masing-masing boleh dianggap pilihan tepat untuk menghidupkan cerita berbentuk kelelakian ini.

Tidak perlu membariskan ramai pelakon hebat, dua bintang berbakat itu yang dibantu beberapa pelakon lelaki lain sudah cukup memberikan nyawa kepada Anak Jantan.

Apatah lagi apabila ia dibantu seni sinematografi mengesankan berlatarbelakangkan daerah Sadao di Selatan Thailand, membuatkan filem ini cukup menarik, umpama garapan sutradara Siam yang menyerlah menerusi Ong Bak.

Terpaksa potong demi jaga sensitiviti

Namun seperti juga beberapa judul lain, skrip filem ini seakan-akan masih ada ruang untuk diperbaiki. Jalan ceritanya dilihat agak lemah dan kurang rencah, menyebabkan penceritaannya sedikit membosankan.

Beberapa babak yang dikaburkan latar belakangnya dan kesan khas kurang berkesan pula membuatkan tontonan khalayak sedikit terganggu.

Mengakui kelemahan itu, Faizul terpaksa akur dengan kehendak Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang mahu menjaga sensitiviti masyarakat di negara ini. Akibatnya, hampir 15 peratus penceritaannya terpaksa dipotong.

“Kalau diikutkan, LPF tidak mahu melepaskan filem ini untuk tayangan disebabkan wujudnya unsur keganasan dan unsur yang menyentuh sensitiviti masyarakat kita. Walaupun kami membuat rayuan, tetapi masih ada beberapa babak yang terpaksa dikaburkan dan ditapis.

“Memang agak mengecewakan, tetapi saya terpaksa terima. Atas alasan penceritaannya dapat memberikan pengajaran kepada penonton, akhirnya mereka lepaskan juga,” katanya selepas majlis pratonton filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dan Line Clear Motion Pictures itu di Petaling Jaya, baru-baru.

Idea insiden hilang anak

Beberapa babak menggunakan dialog bahasa Siam oleh pelakon Thai dan Bront umpamanya terpaksa dialih suara ke Bahasa Melayu bagi menjaga sensitiviti penonton.

“Bagi saya, apa yang dilakukan LPF ada sebabnya dan ia membuatkan saya lebih berhati-hati dalam berkarya. Dalam hal ini, kita belajar daripada produksi filem di Iran yang sangat menjaga sensitiviti dalam berkarya,” jelasnya.

Menyentuh idea penghasilan Anak Jantan, Faizul berkata, beliau mendapat ilham menghasilkan filem berkenaan selepas insiden kehilangan anak selama dua minit.

“Saya terfikir, apa akan terjadi dengan kanak-kanak ini dan bagaimana pula kerisauan seorang bapa dalam menghadapi situasi seperti itu,” katanya.

Tiada niat sokong keganasan

Mengetengahkan kisah militan dan penculikan kanak-kanak sebagai sub plot, Faizul juga berkata, filem berkenaan cuba menyampaikan mesej kekeluargaan dan peranan seorang bapa dalam menentukan kesejahteraan insan di bawah jagaannya.

“Saya tidak berniat untuk menampilkan kumpulan pengganas atau menyokong aktiviti sedemikian. Sebaliknya semua itu sekadar plot sampingan. Malah, filem ini juga tiada kaitan dengan kes letupan bom di selatan Thai. Ia cuma digambarkan dalam filem ini untuk menyedarkan masyarakat Islam agar tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan ajaran yang memesongkan akidah Islam,” katanya yang mahir berbahasa Siam.

Lakukan sendiri babak aksi

Melakukan aksi lagak ngerinya sendiri, Bront berkata, ada kalanya beliau agak sukar untuk mengekalkan stamina bagi menjayakan adegan sedemikian kerana terpaksa menempuh penggambaran sehingga 18 jam.

“Untuk mengekalkan tenaga sehingga jam 5 pagi, ia bukan perkara yang mudah. Saya bagaimanapun sangat kagum melihat aksi pergaduhan dalam filem ini dan kemampuan barisan pelakonnya.

“Saya akan berasa puas apabila melihat penonton berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Sinopsis:

Darin (lakonan Farid Kamil) dan Somchai (Bront Palarae) ialah pengikut kumpulan militan di Selatan Thai yang diketuai oleh Pokya Chakree (Datuk Rahim Razali), yang menculik dan merekrut kanak-kanak agar menjadi ahli kumpulan itu. Mereka turut melakukan siri pengeboman di negara terbabit.

Dek keinginan menguasai kumpulan berkenaan, Somchai mahu menghapuskan Darin yang menjadi orang kesayangan Pokya kerana kepakarannya menghasilkan bom. Malah, Somchai turut berdendam dengan Darin kerana berjaya menambat hati Nara (Nora Danish).

Tidak mahu terbabit dalam kumpulan itu lagi, Darin membawa Nara ke Kuala Lumpur, namun Somchai berusaha menjejakinya dan melakukan aktiviti jenayahnya sendiri di negara ini.

Info: Anak Jantan

Pengarah: Faizul A Rashid

Pelakon: Farid Kamil, Bront Palarae, Nora Danish, Azhan Rani, Qi Razali, Abu Bakar Omar, Datuk Rahim Razali

Genre: Aksi

Klasifikasi: 18

Tarikh Tayangan: Mulai 30 Oktober 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.