Keputusan kes Liong Sik tipu kerajaan diketahui esok

Setelah dibicarakan atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar berjumlah RM1.08 bilion bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik akan mengetahui nasibnya sama ada disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan itu, Jumaat ini.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi akan mengumumkan keputusan di akhir kes pembelaan terhadap Liong Sik, 70, yang dibicarakan atas satu pertuduhan utama dan dua pertuduhan pilihan.

Tertuduh yang diwakili peguam Wong Kian Kheong didakwa atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang bagi projek PKFZ.

Bekas Presiden MCA itu pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 29 Julai 2010 dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan.

Bagi tuduhan utama, Liong Sik didakwa dengan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sehingga mendorong Jemaah Menteri memberi persetujuan membeli tanah tersebut.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara bagi dua pertuduhan pilihan pula, Liong Sik didakwa telah menipu kerajaan dengan cara yang serupa.

Bagi kedua-dua tuduhan pilihan itu, Liong Sik didakwa mengikut Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Manoj Kurup mengendalikan perbicaraan sejak 1 Ogos 2011 dan sepanjang 30 hari prosiding berlangsung seramai 25 saksi pendakwaan telah memberikan keterangan.

Hakim Ahmadi pada 9 Mac 2012 memerintahkan Liong Sik membela diri setelah mendapati terdapat kes prima facie yang perlu dijawab olehnya.

Tertuduh mula memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi selama lapan hari bermula 13 Julai 2012 bagi menangkis semua dakwaan terhadapnya.

Sepanjang perbicaraan, beliau sentiasa ditemani isterinya Toh Puan Ena Ling serta dua anak lelaki mereka, Datuk Ling Hee Leong dan Ling Hee Kiat.

Di peringkat pembelaan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; dan bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr. Fong Chan Onn telah tampil memberi keterangan.

Yang turut menjadi saksi pembelaan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (kini Menteri Pelancongan dan Kebudayaan), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.