Polis tahan dua lelaki kes gaduh di himpunan peminat motor besar

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki tempatan, pagi tadi, kerana disyaki terbabit insiden merusuh ketika penganjuran acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Pantai Awam Desaru, Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata dua lelaki berusia 30 dan 50 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kejadian berkenaan yang tular dalam media sosial.

“Pada jam 1.15 pagi tadi, kita mengesan satu video tular membabitkan insiden merusuh menggunakan senjata kayu dan kerusi plastik.

“Polis telah membuka kertas siasatan dan sedang mengenal pasti individu terbabit kejadian itu.

“Setakat ini, kita sudah menahan dua lelaki tempatan di Kota Tinggi dan Johor Bahru bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kekecohan itu berpunca daripada salah faham antara dua kumpulan peserta acara berkenaan dipercayai tempatan dan antarabangsa, sehingga membawa kepada cabar-mencabar serta provokasi.

“Acara itu mendapat sambutan pelbagai masyarakat yang membawa motosikal masuk ke kawasan itu untuk menjalani aktiviti yang diatur.

“Bagaimanapun, berlaku salah faham antara sebuah kumpulan dengan kumpulan lain. Antara yang terbabit adalah warga tempatan dan kumpulan bermotosikal dari Amerika Syarikat,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, seramai 350 anggota polis ditugaskan sepanjang tempoh penganjuran acara itu selama tiga hari, dan insiden kekecohan berlaku kira-kira jam 9 malam tadi berjaya dikawal serta disuraikan oleh anggota polis bertugas.

Beliau berkata, beberapa individu dilaporkan cedera ringan dalam kejadian berkenaan, termasuk dua yang ditahan di mana seorang daripadanya menerima empat jahitan di kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Dua suspek itu akan direman, dan polis masih mengesan beberapa lagi individu disyaki terbabit. Polis meminta mereka menyerah diri bagi membantu siasatan atau kita akan mengesan dan menahan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak gusar dengan kejadian berkenaan, selain tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menyalurkannya kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi melalui talian 07-8831222 atau Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Ng Han Shoong (016-5488810) atau mana-mana balai polis berhampiran. – BH

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat