Tujuh Sekeluarga Tinggal Dalam Bangsal, Anak Terpaksa Berhenti Sekolah

KOTA BHARU – Akibat kesempitan hidup tujuh sekeluarga terpaksa tinggal dalam sebuah bangsal yang didirikan di atas tanah rezab pantai di Kampung Baru, Pantai Mek Mas di sini.

Tambah memilukan apabila mereka terpaksa membesarkan anak kecilnya berusia setahun setengah dalam suasana tempat tinggal yang tidak berpintu selain dindingnya hanya dari papan lapis dan kain.

Imran Amin, 59, memberitahu, sebelum ini mereka tinggal secara menyewa di Pasir Puteh dengan bayaran RM350 namun, terpaksa keluar mencari tempat tinggal percuma berikutan tidak mampu membayar sewa.

“Kami baru tinggal di sini 10 hari lalu. Bangsal ini didirikan secara gotong-royong oleh penduduk kampung. Walaupun dalam kedaifan sekurang-kurangnya kami sudah terlepas dari beban bayaran sewa.

“Pun begitu saya cukup bimbang dengan keselamatan keluarga apabila hari hujan dan ribut. Tambahan pula sekarang ini sudah hampir musim tengkujuh,” katanya ditemui di sini hari ini.

Imran yang bekerja sebagai pengamal perubatan Islam dengan pendapatan tidak menentu juga terpaksa memberhentikan sekolah tiga anaknya iaitu Siti Nur Shafiqah, 16; Siti Nor Hidayah, 13, dan Mohammad Amirul, 8, kerana tidak mampu membayar yuran persekolahan.

Biarpun tindakan tersebut agak sukar, tetapi katanya, keadaan membuatkan dia tiada pilihan lain walaupun impian untuk melihat anaknya berjaya dalam pendidikan tidak pernah terpadam.

“Saya tidak mampu untuk membayar yuran, jadi terpaksa memberhentikan mereka. Ikut hati saya mahu semua anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.

Sementara itu isterinya, Zainun Yaakob, 39, berkata, kerana kemiskinan keluarganya kerap kali makan nasi hanya berlaukkan budu atau ulam-ulaman sahaja.

“Mujur anak-anak tidak merungut, mereka seolah-olah faham dengan keadaan. lagipun kami hanya makan apa yang ada kerana kehidupan kami yang susah sejak dahulu lagi,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB 7623561103 atas nama Imran Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.