UMNO Dicadang Tidak Letak Calon Di PRK PD

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan mencadangkan supaya parti iu tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Mohamad berkata ia berdasarkan tiga faktor utama termasuk mempertahankan prinsip dan pendirian, memberi fokus kepada rejuvenasi parti dan bagi melakukan analisis serta kajian mendalam terhadap tahap sokongan di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, UMNO perlu mengekalkan prinsip dengan menolak tindakan mengosongkan kerusi secara sengaja semata-mata demi menjayakan cita-cita politik individu.

“Tindakan mengosongkan kerusi dengan sengaja semata-mata untuk memberikan laluan kepada seseorang mengejar jawatan politiknya sama sekali tersasar dari objektif moral sesuatu pilihan raya.

“UMNO menolak sekeras-kerasnya tindakan ‘self centric’ yang mendasari keputusan mengadakan PRK Port Dickson. Ini bukanlah kali pertama tindakan sebegini dilakukan di negara kita,” katanya.

Apa yang paling penting ujarnya, UMNO mesti memfokuskan kepada usaha melaksana dan merancakkan agenda rejuvenasi parti pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Melibatkan diri dalam PRK pada waktu ini tidak akan membantu usaha reformasi parti malah akan mengheret parti ke kancah ‘politiking’ yang menyimpang dari usaha membawa pembaharuan dalam UMNO,” tegas beliau.

Mohamad yang juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan dalam pada itu berkata, amat penting untuk UMNO melakukan analisis dan kajian mendalam terhadap tahap sokongan di semua kawasan Parlimen dan DUN di seluruh negara bagi membolehkan parti merangka pelbagai strategi jangka pendek dan panjang yang khusus dan strategik kepada kelangsungan parti.

“Berdasarkan semua alasan ini, saya berpandangan bahawa UMNO tidak perlu terlibat dalam PRK Port Dickson.

“Peranan UMNO adalah lebih besar dari hanya bertanding dalam pilihanraya kecil yang dilaksanakan dengan mengenepikan prinsip moral sesuatu pilihanraya itu diadakan,” katanya.

PRK Port Dickson diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha beliau untuk kembali ke parlimen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 13 Oktober ini sebagai tarikh pengundian, manakala 29 Seotember pula hari penamaan calon. -SuaraTv

 

One thought on “UMNO Dicadang Tidak Letak Calon Di PRK PD

  • September 25, 2018 at 3:23 am
    Permalink

    korup pasti bungkus..usah mimpi nk menang! rudum korup bungkus tanding dimana2 pun? rakyat sumpah seranah parti korup!!!!!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.