UMNO Bukan Parti ‘Merangkak’

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan pemimpin parti itu sanggup menggadaikan maruah dengan ‘merangkak’ mencari pengaruh demi memulihkan imej selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, pihaknya hanya mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan parti lain, namun ada sesetengah pihak dan pemimpin menganggap tindakan itu sebagai ‘merangkak’.

Katanya, tidak salah bagi pemimpin UMNO mengadakan kerjasama atau pertemuan dengan mana-mana parti politik kerana ia dilakukan secara beradab.

“Istilah ‘merangkak’ digunakan seseorang tetapi apa yang kami lakukan jika menghormati seseorang sebagai pemimpin utama negara.

“Sebaliknya, pemimpin UMNO, BN bertemu (kepemimpinan parti lain) dikatakan merangkak.

“Kita cuma menjadi pembangkang yang mempunyai sikap konstruktif. Penggunaan istilah (merangkak) kita adalah pembangkang dan bebas bertemu sesiapa berunding dengan mana-mana pemimpin luar BN, apatah lagi pemimpin parti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik di Menara Datuk Onn, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa UMNO tidak sewajarnya merangkak mencari PAS untuk memulihkan imejnya selepas kekalahan dalam PRU-14, 9 Mei lalu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, jalinan hubungan antara UMNO dan PAS tidak pernah dibincangkan secara rasmi dan menyeluruh.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut mengulas dakwaan terdapat perbincangan antara UMNO dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pengerusi BN itu menolak dakwaan bahawa UMNO mengadakan perbincangan dengan PKR demi kelangsungan parti keramat orang Melayu itu.

Namun, beliau tidak mengulas sama ada pihaknya mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan BERSATU.

Mengenai tindakan pemimpin UMNO, antaranya Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee yang keluar parti berkuat kuasa serta-merta hari ini, Ahmad Zahid mengucap selamat berjaya.

“Itu hal peribadi dan saya ucap selamat berjaya kepada beliau,” katanya.

2 thoughts on “UMNO Bukan Parti ‘Merangkak’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.