Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, orang ramai diminta supaya berhenti menyebarkan berita atau maklumat ini kerana dikhuatiri akan menjejaskan dan memalukan diri serta keluarga mereka yang dimaksudkan sebagai suspek kes culik ini.

“Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Kedah menerima maklumat berkaitan “Geng Culik Kanak – Kanak” yang bergiat aktif di kawasan Alor Setar.

“Maklumat, gambar dan butir-butir mengenai sekumpulan lelaki Melayu sebagai kumpulan culik kanak-kanak di kawasan Alor Setar adalah tidak benar.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya maklumat ini benar atau sebaliknya,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin turut memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian culik atau cubaan culik sehingga kini.

“Daripada risikan maklumat juga, gambar-gambar yang ditularkan adalah tidak dikehendaki oleh pihak Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar,” katanya.

Tular di media sosial sejak awal pagi tadi adalah status seorang pengguna media sosial Facebook yang memaparkan hantaran tentang geng tersebut sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen. – UTUSAN ONLINE