Pendaki Gunung Dakwa Tersesat Selepas Disapa ‘Puteri Cantik’

“DIA cantik seperti puteri dan sempat menghulurkan sekuntum bunga pada saya,” kata pendaki, Stanley Kho, 22, sejurus ditemui pasukan penyelamat selepas tujuh hari dilaporkan hilang di Gunung Singai, di Bau.

Seperti diceritakan kepada anggota penyelamat, mangsa menyatakan terserempak dengan gadis itu ketika memulakan pendakiannya dan terus mengikutinya kerana terpegun dengan kecantikannya.

“Mangsa memberitahu ada mendengar suara pasukan penyelamat dan penduduk kampung yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesannya.

“Bagaimanapun, mulut mangsa seolah-olah ‘terkunci’ sepanjang tempoh kehilangannya dan tidak dapat menyahut panggilan pasukan penyelamat,” katanya.

Stanley ditemui selamat, jam 8.10 pagi. Namun, dia dalam keadaan lemah dan kebingungan.

Mangsa yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju, selain mengalami kecederaan pada kaki dan tangannya ditemui di kawasan curam di sebelah kanan kaki gunung berkenaan.

Malah, mangsa turut memberitahu anggota penyelamat, dia dijaga dengan baik oleh gadis berkenaan sepanjang tempoh sesat di kawasan gunung berkenaan, yang cukup popular dalam kalangan pendaki.

Operasi SAR yang dilancarkan sejak Isnin lalu membabitkan hampir 300 anggota pelbagai agensi penyelamat selain dibantu penduduk kampung dan persatuan pendaki.

Mangsa dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu bersendirian, pada jam 8 pagi Isnin lalu dan laporan mengenainya dibuat pada 4.35 petang hari sama.

Kehilangan Stanley disedari tiga rakannya yang menemui keretanya diletakkan di kaki gunung berkenaan.

Selasa lalu, mangsa menghantar kedudukan lokasinya disertai dengan video berdurasi empat saat, namun selepas dipadankan dengan peta sebenar, lokasi dihantar menerusi aplikasi WeChat itu tersasar di luar kawasan gunung berkenaan. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.