Peguam Jho Low Bakal Bertemu DoJ

KUALA LUMPUR: Peguam mewakili Low Taek Jho atau Jho Low, didakwa berhubung dengan pegawai Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) untuk mencari penyelesaian berkaitan pemulangan aset disita yang dipercayai diperoleh menerusi dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut laporan sebuah portal berita, ketua pasukan peguam Jho Low, Chris Christie, yang juga bekas pendakwa raya AS sudah mendapat kebenaran untuk bertemu pegawai atasan DoJ.

“Difahamkan, Jho Low menyedari beliau tidak mampu meyakinkan mahkamah AS untuk memulangkan aset bernilai AS$1.2 bilion yang dirampas pihak berkuasa negara itu sebelum ini.

“Bagaimanapun, beliau berharap dapat terus memiliki sebahagian daripada aset itu walaupun berdepan tuduhan jenayah di beberapa negara termasuk Malaysia, AS, Singapura dan Switzerland,” kata portal berita itu.

Difahamkan, pasukan peguam Jho Low turut dibayar menggunakan wang hasil penyelewengan 1MDB.

Menurut portal berita itu, kesediaan DoJ untuk membincangkan jalan penyelesaian berhubung kemelut terbabit bagi membolehkan pihak berkuasa AS menumpukan perhatian terhadap aspek lain dalam skandal 1MDB.

Selain itu, portal berita terbabit turut melaporkan firma kewangan gergasi Goldman Sachs dipercayai mengatur bon bernilai berbilion ringgit untuk 1MDB sebelum ia diselewengkan.

“Bank itu amat tidak disenangi rakyat AS kerana menyebabkan berlakunya krisis kewangan pada 2008, malah sehingga kini belum menerima sebarang hukuman.

“Kecuaian yang ketara dan sejumlah wang yang diperoleh firma berkenaan melalui 1MDB adalah bukti jelas bagi penyiasat AS untuk mengambil tindakan terhadap bank itu,” katanya.

Bagaimanapun, cara penyelesaian kemelut terbabit dipercayai tidak akan diterima baik oleh pihak berkuasa Malaysia.

Baru-baru ini, AS enggan memberikan jaminan kepada kerajaan Malaysia berhubung aset yang dirampas akan dipulangkan kepada pihak berkuasa negara ini.

“Ini bermaksud, bukannya Amerika Syarikat tidak akan memulangkan kembali wang itu, sebaliknya menunjukkan mereka tegas ingin mengawal semua proses yang mungkin berakhir dengan pemulangan jumlah yang lebih rendah berbanding keseluruhan nilai rampasan,” katanya. – BERITA HARIAN

One thought on “Peguam Jho Low Bakal Bertemu DoJ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.