Izzah: Isu Kekecohan Pemilihan PKR Dibincang Selasa Ini

SHAH ALAM – Isu dan kekecohan yang timbul semasa pemilihan PKR di Kedah dan Pulau Pinang akan dibincangkan dengan teliti dalam Mesyuarat Biro Politik parti itu pada Selasa ini, kata Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar.

“Kita akan bincangkan secara serius maklumat balas yang diterima daripada anggota kita… sekarang jangan buat sebarang spekulasi.

“Sebaiknya kita ambil secara ‘bona fide’ iaitu dengan niat dan pandangan baik,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekecohan yang berlaku semasa pemilihan di beberapa cabang PKR Kedah dan Pulau Pinang semalam.

Media semalam melaporkan pemilihan bagi sembilan daripada 15 cabang di Kedah ditunda ke satu tarikh lain berikutan sistem e-undi yang pertama kali digunakan mengalami masalah teknikal. 

Masalah yang sama turut berlaku di Pulau Pinang. 

Masalah itu menimbulkan rasa tidak puas hati ahli yang hadir sehingga mengakibatkan tercetusnya pergaduhan di lokasi pengundian berikutan segelintir daripadanya naik berang kerana menunggu lama.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Ismail Yusop kemudian memaklumkan semua proses pengundian pemilihan PKR di Kedah dibatalkan atas faktor beberapa isu berbangkit.

Keadaan itu turut menyebabkan proses pemilihan di Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka yang sepatutnya berlangsung Ahad (semalam) ditangguh ke tarikh lain.

Polis setakat ini menahan reman 13 lelaki selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pergaduhan ketika pemilihan PKR Cabang Merbok, Kedah. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.