Tangkis Berita Palsu, Pesan Najib Pada Media

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menggesa pengamal media agar pantas menangkis “berita palsu” memburukkan kerajaan yang banyak tersebar di internet.

Beliau mendakwa antara pihak yang sering berbuat demikian adalah media atas talian yang menjadi suara pembangkang dan berpengaruh di kalangan golongan muda.

“Kita berdepan dengan apa yang diistilahkan sebagai ‘fake news’ terutama sekali melalui media atas talian yang menjadi media alternatif, yang banyak mempengaruhi rakyat terutama golongan muda.

“Kenyataan dibuat pemimpin termasuk saya disalahertikan atau dikilas untuk mengelirukan rakyat,” katanya pada majlis minum petang anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di Kuala Lumpur, hari ini.

Najib memberikan contoh kenyataannya sebelum ini yang Malaysia mahu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat, ketika lawatannya bertemu Presiden Donald Trump pertengahan bulan ini.

 

Ketika lawatan tersebut, Najib berkata Malaysia antara lain akan meningkatkan pelaburan di AS melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional, selain pembelian sejumlah kapal terbang Boeing oleh MAS pada nilai AS$10-20 bilion.

Kata Najib, kenyataan itu tidak bermaksud Malaysia hanya menjadi penyumbang semata-mata, tanpa mendapat sebarang manfaat.

 

“(Dan) Kita bukan menuntut atau minta sedekah, tetapi hadir sebagai negara berjaya yang boleh menjadi pemain global yang signifikan,” katanya lagi.

“(Pengamal media) mesti bertindak tangkas untuk menangani ‘fake news’ yang disebar melalui media atas talian, untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan, atau sekurang-kurangnya mengelirukan mereka,” katanya lagi.

Berhubung pembelian kapal terbang itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Peter Bellew seperti dilaporkan The Malaysian Reserve sebelum ini menjelaskan syarikat itu tidak akan membeli, tetapi memajaknya dengan syarikat pemajak antarabangsa.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.