Rakyat Malaysia Perlu Bersama Jaga Keamanan Negara -Zahid

PORT DICKSON  – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa rakyat agar bersama-sama mendokong keamanan di negara ini.

Beliau berkata isu keselamatan negara tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan agensi penguat kuasa, tetapi harus dipikul bersama oleh semua pihak, lapor Bernama.

“Keganasan boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa saja di negara kita dan kita perlu berterima kasih kepada pasukan polis yang sentiasa bersiap-siaga.

Tanpa mereka kita tidak akan hidup dalam keadaan harmoni dan aman,” katanya ketika diwawancara bersempena dengan program Ekspresi Negaraku.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata isu keselamatan bukan hanya dihayati semasa pameran-pameran agensi kerajaan diadakan, tetapi sepanjang masa.

“Saya selaku orang yang dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan terus komited untuk menterjemah soal keselamatan ini,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid merasmikan program Ekspresi Negaraku di Dataran Seri Kemang, Teluk Kemang dekat sini, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Antara acara yang dianjurkan sepanjang program ini ialah sesi memanaskan badan Fit Malaysia diikuti Larian Bendera Negaraku yang disertai 3,500 peserta.

Ekspresi Negaraku yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 18 Mac lalu adalah satu inisiatif yang menyediakan platform bagi rakyat menzahirkan rasa cinta pada negara dan Negeri Sembilan merupakan destinasi yang ketujuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.