PAS Puji Kerajaan Bertindak Halang Pesta Lelaki Songsang

KOTA BHARU – Pas memuji kerajaan pusat kerana bertindak segera menghalang ‘White Party BKK Warm Up’ yang mahu diadakan di ibu kota 30 September ini.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, langkah kerajaan tidak membenarkan aktiviti yang boleh menyumbang kepada gejala meruntuhkan akhlak sangat wajar.

“Saya ucap terima kasih dan saya puji kerajaan sebab buat tindakan segera terhadap perkara ini, selepas pelbagai kecaman timbul mengenai isu pesta arak.

“Pada pandangan saya, tidak cukup dengan (halang) ini sahaja. Jika tidak ada usaha berterusan saya rasa masih ada pihak yang akan berani membuat perkara seumpamanya di negara kita,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Medan Ilmu, semalam.

Kelmarin, kerajaan mengarah polis dan Jabatan Imigresen untuk bertindak tegas dengan tidak mengeluarkan visa atau memberi kebenaran kepada rakyat asing untuk masuk ke negara ini bagi menyertai pesta lelaki songsang yang dirancang itu.

Mengenai penganjuran pesta lelaki songsang itu, Mohd Amar berkata, selain penguatkuasaan undang-undang, kerajaan juga perlu mencari jalan untuk membetulkan sikap masyarakat dan membersihkan rakyat daripada unsur-unsur negatif tersebut.

“Kerajaan perlu memberi perhatian serius dalam isu-isu sebegini. Pesta bercanggah dengan tuntutan agama sebegini tidak akan dianjurkan jika tidak ada yang terlibat dalam benda-benda begini.

“Kita juga mengharapkan keprihatinan kerajaan tidak tertumpu kepada isu ini sahaja, tetapi biarlah  meliputi kegiatan lain yang tidak menepati tuntutan agama ,” katanya.

Mohd Amar mahu kerajaan bertindak tegas terhadap penganjuran pesta tari-menari  agar sensitiviti agama di negara ini terus dihormati. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.