Masih Mahu Bertanding PRU14 – Ibrahim

PUTRAJAYA – Tidak pernah serik dengan kekalahan, bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali sekali lagi menyatakan hasratnya akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang mempunyai sejarah menang tiga kali dan kalah tiga kali pada PRU sebelum ini termasuk menggunakan lambang Pas, menganggap pertandingan kali ini sebagai penentu kepada ranking menang kalahnya, lapor MG.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Parlimen Putrajaya di Dewan Kelab Tasik Putrajaya di sini, hari ini, katanya, beliau memilih Parlimen Pasir Mas sebagai kerusi yang akan dipertandingkan.

“Rakyat Pasir Mas dekat dengan saya. Setiap minggu saya balik ke kawasan bertemu mereka dan saya mahu membela nasib mereka sebagai wakil rakyat.

“Saya memang mengharapkan bertemu (berlawan) dengan penyandang di situ (Nik Mohamad Abduh Nik Abdu Aziz – Pas), tetapi saya difahamkan dia akan bertanding di kawasan lain.

“Dia tidak dapat berkhidmat kepada rakyat di situ sebab dia bukan rakyat Pasir Mas,” katanya.

Diminta mengulas ucapan perasmiannya, Ibrahim yang juga Presiden Perkasa memberitahu, pertubuhan itu akan terus dengan matlamat perjuangan membela orang Melayu.

Katanya, Perkasa akan memastikan Melayu tidak ditindas dan dipermain-mainkan oleh bangsa lain.

“Kita menentang mati-matian pesta arak dan pesta tarian gay ini. Kita tidak mahu agama Islam dan bangsa Melayu diperkotak-katikkan oleh golongan biadab ini.

“Kita akan berjuang bersendirian, walaupun tidak mendapat kerjasama daripada kerajaan mahupun pemimpin politik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.