Keluarga Tuntut Pembuli Mohon Maaf Secara Terbuka

PETALING JAYA – Ibu pelajar perempuan yang tampil menjelaskan hal sebenar di sebalik kisah tular mengaitkan dua rakan sekolah mengenai hadiah beg tangan mewah baru-baru ini.

Penjelasan ibu Hana merungkaikan sebenarnya tiada hadiah beg tangan berjenama yang diterima anaknya, sebaliknya beg kertas jenama berkenaan seperti di dalam gambar yang tular hanya mengandungi kek batik dan roti keju sempena sambutan ulang tahun Afiq.

Gambar beg tangan berjenama yang turut dikaitkan hanyalah tindakan yang digembar-gemburkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Terkini, memetik mStar mendapatkan komen ibu kepada pelajar lelaki yang tampil bersuara bagi membersihkan nama anaknya yang dikecam teruk netizen akibat penyebaran fitnah tersebut.

Rohayu Abdul Rahman, 38, menegaskan bahawa dia sekeluarga kesal di atas fitnah tersebut yang menjejaskan nama baik mereka.

Sehubungan itu, ibu kepada pelajar Tingkatan Tiga terbabit menggesa penyebar fitnah membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Saya menggesa semua pihak yang menyebarkan fitnah di media sosial membuat permohonaan maaf secara terbuka dan memadamkan ‘posting’ fitnah itu, serta-merta.

“Jika tidak, saya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis kerana menyebarkan fitnah dan dakwaan tidak berasas,” katanya.

Terdahulu, penjelasan ibu Hana di laman sosial bahawa kedua-dua pelajar itu sekadar berkawan baik dan hari ulang tahun Afiq tidak disambut secara berdua-duaan tetapi beramai-ramai.

Rohayu berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja memalukan mereka sekeluarga bahkan menyebabkan anak keduanya daripada tiga beradik itu tertekan dan trauma.

Eksekutif Akauntan itu mendedahkan bahawa Afiq pernah menangis dan enggan pergi ke sekolah kerana menjadi mangsa buli siber.

“Tapi kami memujuk Afiq untuk pergi ke sekolah dan memberikan banyak sokongan kepadanya. Bagaimanapun, Afiq masih trauma untuk berada di luar,” katanya.

“Tuntutan permohonan maaf secara terbuka termasuk memadamkan semua ‘posting’ berunsurkan fitnah itu adalah sebagai pengajaran kepada semua.

“Hari ni, ia berlaku kepada anak saya, Afiq dan Hana. Jadi, saya tidak mahu isu membuat dakwaan tanpa usul periksa dan siber buli ini berleluasa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.