Black Belajar Tulis Lirik

KUALA LUMPUR: Tidak terlalu puitis, namun penyanyi Black Hanifah berbangga dengan lirik sulung nukilannya melalui single terbaharu, Sakit Ku Rasa.

Teruja dengan karya kreatifnya itu, Black mengaku beroleh keyakinan menulis lirik dan bekerjasama dengan komposer Zul 2 By 2 dalam menghasilkan single berkenaan.

“Buat pertama kalinya, saya menulis lagu hasil kerjasama dengan Zul. Namun, ia tidaklah terlalu puitis sebaliknya lebih kepada susunan bait secara terus terang saja.

“Sakit Ku Rasa mengisahkan cinta tak kesampaian seorang jejaka yang berdepan konflik dalaman.

“Sebelum ini, kebanyakan lagu saya memuji wanita. Namun, single terbaharu ini tampil berbeza apabila membicarakan soal cinta tidak kesampaian,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Anugerah Terindah itu memberitahu, sebagai hadiah buat peminat, video muzik single itu membabitkan babak di kolam renang dan dijayakan pelakon, Atikah Suhaime.

“Apa yang cuba disampaikan diterjemah menerusi video muzik ini. Saya mencuba sesuatu yang baharu kerana perlu berendam dalam kolam renang untuk beberapa babak.

“Biarpun tampil dengan genre lagu yang sama, saya cuba buktikan kebolehan menyanyi lagu bernada rendah,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.