UNESCO Puji Malaysia, Iktiraf Peranan Rosmah & Keberkesanan Program Permata

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) memuji inisiatif Malaysia dan mengiktiraf sumbangan Datin Seri Rosmah Mansor dalam membangunkan potensi dan pendidikan kanak-kanak termasuk Program Permata.

 

Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova berkata, pencapaian Malaysia termasuk melalui program Permata telah berjaya membantu kanak-kanak yang tersisih dan memberi peluang pendidikan bermakna dalam hidup mereka.

 

“Permata, yang ditubuhkan hasil inisiatif Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, menjadi contoh yang terbaik dalam usaha mendekati golongan yang terpinggir.

 

“Melalui pendekatan holistik yang bermula pada usia awal, mempromosikan nilai-nilai keamanan, bukan keganasan dan budaya menghormati kepelbagaian, dan membuka pelbagai peluang kepada kanak-kanak dan remaja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

 

UNESCO sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menarik balik anugerah ‘Lead By Example’ kepada Rosmah beberapa hari selepas mengumumkan pengiktirafan tersebut dengan alasan sumber dana program Permata dicurigai, setelah portal berita Wall Street Journal dan The New York Times mempertikaikan sumber pembiayaan Permata.

 

Ekoran itu, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad tampil menjelaskan sumber dana program Permata dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

 

“Kami mengesahkan bahawa Permata dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia di bawah peruntukan yang secara telus dimasukkan dalam bajet kerajaan dan diluluskan oleh Parlimen.

 

“Semua perbelanjaan adalah selaras dengan prosedur kewangan kerajaan. Ini bukan sahaja berkaitan dengan rekod awam tetapi ia boleh diperjelaskan dengan segera jika kami atau Permata diminta berbuat demikian sebelum penangguhan penganugerahan itu,” kata Tengku Sariffuddin.

 

Bagaimanapun susulan kontroversi itu, beberapa pihak di Malaysia terus menuntut UNESCO memberi penjelasan isu tersebut.

 

Dalam kenyataan yang sama, UNESCO turut mengiktiraf peranan Malaysia sebagai antara peneraju di kalangan negara rantau Asia dalam usaha memajukan pendidikan demi keamanan serta sebagai langkah jangka masa panjang untuk mencegah ancaman keganasan.

 

“Tidak dapat disangkal, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia telah mengambil pendirian tegas dalam memerangi keganasan ekstremisme menerusi penyertaan dan pendidikan, yang UNESCO sifatkan sebagai pencegahan jangka panjang paling efektif untuk mendepani ancaman yang mahu memecahbelahkan masyarakat,” ujarnya.

 

Ketua Pengarah UNESCO itu juga memuji Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menurutnya cukup komprehensif, meliputi pendidikan awal kanak-kanak sehingga semua peringkat pendidikan dan menjadi contoh kepada negara lain. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.