Tanpa Pas, Pembangkang Akan Hilang Selangor, Kata PKR

KUALA LUMPUR – Analisis yang dilakukan PKR mendapati pembangkang mungkin kecundang di Selangor tidak kira pilihan raya negeri diawalkan atau sebaliknya.

 

Keadaan itu akan berlaku jika pembangkang gagal mencapai persefahaman dengan Pas di Selangor.

 

Penganalisis daripada PKR, Chan Ming Kai meramalkan PKR akan kehilangan tiga kerusi di Selangor, DAP (dua kerusi), Amanah (tiga kerusi) dan Pas (11 kerusi) jika pilihan raya di Selangor diawalkan.

 

PKR mungkin kehilangan kerusi Ijok, Batu Tiga dan Kota Andalas manakala DAP berdepan laluan sukar di Sungai Pelek dan Kuala Kubu Baru.

 

Selain Bangi yang mana Pas dilihat berpeluang menang, parti pembangkang itu berdepan kemungkinan kehilangan 11 kerusi berisiko tinggi yang lain.

 

Kawasan yang diintai Amanah seperti Seri Serdang, Cempaka dan Templer Park juga mungkin dirampas oleh Barisan Nasional (BN).

 

Ming Kai berkata, kejayaan pembangkang di Selangor pada 2008 dan 2013 didorong oleh taburan pengundi Cina di kawasan berlainan selain sokongan daripada pengundi bukan Cina.

 

“Pada 2008, cuma terdapat dua kawasan yang mempunyai lebih daripada 70 peratus pengundi Cina iaitu Seri Kembangan dan Damansara.

 

“Bukit Gasing dan Sungai Pinang pula mempunyai pengundi Cina yang menghampiri 70 peratus iaitu masing-masing 69 peratus dan 61 peratus,” katanya.

 

Menurutnya, kejayaan Pas pada 2008 adalah banyak didorong oleh kejayaannya mendapat sokongan 50 peratus pengundi Cina.

 

“Pada 2013 pula, kerusi Pas melonjak daripada tujuh kepada 15 selepas mendapat sokongan kira-kira 40 peratus pengundi Cina,” katanya.

 

Menurutnya lagi, persempadanan semula akan menyebabkan sekurang-kurangnya 17 kerusi pembangkang mengalami penurunan jumlah pengundi Cina.

 

Katanya, keadaan itu berlaku kerana pengundi Cina akan dipindahkan ke dalam kawasan DAP.

 

Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, Biro Politik PKR telah menolak cadangan DAP untuk mengawalkan pilihan raya negeri.

 

Katanya, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali telah menjelaskan perkara itu kepada ahli parti dan ia diterima sebulat suara oleh Biro Politik PKR.

 

Antara penjelasan Azmin ialah keperluan perbincangan dengan Pas bagi mengelakkan pertarungan tiga penjuru. – M.Gazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.