FELDA Ditambah Baik Untuk Lebih Maju, Berjaya – PM

MARAN – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tadbir urus Felda akan ditambah baik supaya warga tanah rancangan itu termasuk generasi baharu mendapat lebih banyak manfaat menerusi penubuhannya sejak 60 tahun la­l­u.

 

Perdana Menteri berkata, walaupun Felda diiktiraf sebagai antara badan pembangunan ta­nah paling berjaya di dunia dan membawa limpahan manfaat kepada peneroka, beliau belum berpuas hati dan mahu melakukan lebih banyak penambahbaikan.

 

Sebab itu kata beliau, makmal pemantapan Felda diwujudkan bagi membincangkan secara bersungguh-sungguh pelbagai aduan berkaitan isu warga pene­roka yang mana hasilnya akan di­umumkan dalam tempoh terdekat.

 

“Ada antara 200 hingga 300 cadangan sama ada kecil atau besar yang akan saya kumpul dan rumuskan. Dalam masa terdekat kita akan umumkan apa yang kita lakukan dari segi penambahbaikan kepada tadbir urus Felda supaya warganya terus mendapat lebih banyak manfaat.

 

“Kita akan ambil langkah ke depan supaya masyarakat Felda lebih maju dan berjaya,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2016 yang dihadiri lebih 15,000 warga peneroka dari seluruh negara di perkarangan Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini semalam.

 

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim; Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad; Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun.

 

Dalam majlis sambutan bertemakan Mensyukuri Nikmat: Kebersamaan dan Kebersatuan itu, Perdana Menteri turut merasmikan Stadium Felda Tun Abdul Razak bernilai RM92 juta yang menggunakan rumput tiruan diiktiraf dunia hasil cetusan idea beliau semasa sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan 2011.

 

anugerah-keceriaan-kampung-felda-2016-akkf

 

Najib berkata, kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan harga komoditi kelapa sawit termasuk mengadakan kerjasama dengan Indonesia bagi meneroka langkah-langkah baharu dalam persekitaran ekonomi global semasa yang kini menunjukkan hasil positif.

 

“Kita ada langkah-langkah supaya harga sawit akan lebih baik walaupun hakikatnya itu bergantung kepada keadaan ekonomi dunia yang kita tiada kuasa me­ngawalnya,” ujar beliau.

 

Perdana Menteri turut menarik perhatian mengenai kejayaan Felda yang diiktiraf sebagai badan pembangunan tanah paling berjaya di dunia dan meskipun ba­nyak negara seperti Afrika cuba mengguna pakai dan mencontohi modul Felda, namun program itu tidak berjaya dilaksanakan.

 

“Apabila melawat Felda mereka kagum dan berhasrat untuk membawanya pulang ke negara masing-masing. Kita sendiri hantar rombongan Felda untuk membantu, walau bagaimanapun tidak menjadi kerana kerajaan mereka tidak mampu melaksanakannya melainkan kita di Malaysia yang berani dan dapat membangunkan Felda sehingga berjaya serta dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.