DAP Punca PR Gagal Tarik Undi Melayu – Nik Abduh

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Pas dan DAP tidak mampu menarik undi rakyat di­sebabkan DAP yang didakwa gagal untuk menarik undi Melayu.

 

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, DAP juga dikatakan gagal memanfaatkan usaha Pas bagi membuang wajah chauvinis parti itu ketika bersama-sama di dalam pakatan pembangkang (PR) sehingga Pas menerima tempias­nya akibat keengganan DAP untuk berubah.

 

Katanya, walaupun DAP konsisten menentang Barisan Nasional (BN), tetapi mereka gagal memahami isu-isu negara dengan baik terutama mengenai hal ehwal agama, hubungan antara kaum dan banyak lagi.

 

“Malaysia tidak mampu lagi menerima politik benci-membenci dengan fitnah dan saling mencipta provokasi serta sentimen jahat sesama rakyat,” katanya seperti yang dilaporkan portal Harakahdaily semalam.

 

Kenyataan tersebut dibuat sebagai reaksi kepada pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan parti-parti yang bersama­nya.

 

Menurut Nik Mohamad Abduh, Gagasan Sejahtera wujud selepas kegagalan dan perpe­cahan yang berlaku di dalam pakatan pembangkang.

 

“Gagal akibat DAP yang menafikan hak PAS untuk meneruskan perjuangannya sendiri sebagaimana janji dalam pakatan pembangkang.

 

“Jadi mengapa PAS harus mengulangi jalan yang sama? Gagasan Sejahtera adalah penerokaan kepada politik baharu yang lebih sejahtera dan mudah diterima rakyat,” jelasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.