Aneh Bila WSJ Dan Media Barat Tidak Lapor Batal Saman – Salleh Keruak

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak menyifatkan tindakan setiausaha politik Tun Mahathir Mohamad, Matthias Chang dan Datuk Husam Musa yang memfailkan saman terhadap Res Granite Pictures dan pengasasnya, Riza Aziz serta Joey MacFarland sebelum ini merupakan satu aksi publisiti semata-mata untuk memanipulasi persepsi orang ramai.

 
Namun katanya, adalah sesuatu yang aneh apabila Wall Street Journal dan media Barat yang lain tidak melaporkan bahawa Matthias dan Husam telah membatalkan saman terbabit.

 
“Penolakan saman itu semalam digelapkan media berbanding gembar-gembur yang ditimbulkan mereka serta kontroversi yang tercetus apabila ia difailkan pada 11 Ogos 2016. Saman oleh konco-konco Tun (Dr) Mahathir itu menjadi berita dan mencetuskan kontroversi di peringkat global apabila ia difailkan pada 11 Ogos (2016).

 
“Tetapi, anehnya, WSJ dan media Barat lain tidak melaporkan bahawa semalam, saman itu ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 
Portal Hollywood Reporter melaporkan Matthias dan Husam telah membatalkan saman terhadap Red Granite Pictures dan pengasas Riza Aziz serta Joey MacFarland.

 
Mereka secara sukarela membatalkan saman itu tanpa prasangka, demikian menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada Jumaat, supaya mereka boleh mencuba sekali lagi.

 
Setakat ini peguam plaintif, Louis Burke masih belum memberikan komen mengenai perkara berkenaan.
Mengulas lanjut, Salleh berkata, realitinya saman itu tidak berasas sejak awal lagi dan ia pasti mengecewakan Dr. Mahathir kerana setiap percubaannya untuk menggulingkan demokrasi Malaysia telah gagal.

 
“Mereka akan terus gagal. Salah satu tanda seorang pemimpin yang sebenar adalah mengetahui masa untuk berundur secara senyap,’’ jelasnya.

 
Salleh turut mengaitkan rekod sebenar Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri yang dipuji oleh Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova.

 
Menurut Irina, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, kerajaan Malaysia telah mengambil pendirian tegas terhadap keganasan ekstremisme melalui penglibatan dan pendidikan, yang mana UNESCO menganggap sebagai pencegahan jangka panjang yang paling berkesan ke atas kuasa yang mengancam untuk memecah-belahkan masyarakat.

 
Jelas Salleh, Irina turut memuji Malaysia dan negara ini adalah bukti bahawa menghormati kepelbagaian merupakan satu sumber pengayaan.

 
“Tumpuan kerajaan tidak akan terpesong oleh cubaan Tun (Dr) Mahathir yang semakin terdesak. Perdana menteri akan terus berkhidmat kepada rakyat dan memberi keutaman terhadap keselamatan serta kemakmuran mereka,’’ katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.