N01 : Pengundi Mahu Pemimpin Yang Ada Hubungan Dengan Kerajaan Pusat

Pengkalan Kubor – Rata-rata penduduk mahukan Barisan Nasional (BN) terus kekal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, Khamis ini, supaya pelbagai pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan itu.

Calon BN, Mat Razi Mat Ail, berkata penduduk juga mahukan pemimpin yang mempunyai hubungan dengan kerajaan pusat agar segala masalah dapat diusulkan terus kepada pihak atasan.

“Penduduk ingin BN terus kekal bagi membolehkan agenda pembangunan di peringkat akar umbi dapat diteruskan dan mereka mahukan wakil rakyat yang ada hubung kait dengan BN.

“Jika ada sebarang permasalahan, segala permohonan akan diusulkan terus ke peringkat tertinggi,” katanya dalam sidang akhbar di Pantai Sri Tujoh di sini, hari ini.

Mat Razi berkata, beliau mengunjungi kesemua 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Pengkalan Kubor dalam tempoh berkempen PRK itu.

“Saya dah pergi ke semua PDM dan pemantauan akan disusuli pada hari ini dan juga esok bagi memantapkan lagi persiapan sebelum hari pengundian.

“Pagi ini pun saya dah berkunjung ke 15 buah rumah dan ini adalah strategi penting kerana penduduk sukakan pemimpin yang mendekati rakyat,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar daripada BN pada 20 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.