Azmin Tidak Mahu Jadi MB ‘Kawalan Jauh’, Mahu Tunaikan Janji Kepada Rakyat

Shah Alam – Menteri Besar Selangor baharu Azmin Ali berkata beliau akan menjalankan tugas mengikut Perlembagaan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor.
Malah beliau memberi jaminan tiada mana-mana pihak akan mengawalnya dalam melaksanakan tugas mentadbir kerajaan negeri.
“(Pentadbiran) saya berpandukan perlembagaan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri dan juga dasar yang diluluskan oleh Pakatan Rakyat yang perlu dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah bagi jawatan itu di Istana Alam Shah di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah pentadbiran beliau akan dikawal oleh parti atau individu tertentu.
Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi menteri besar ‘kawalan jauh’ apabila dikawal oleh suaminya yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau memegang jawatan itu.
Apabila persoalan sama diajukan kepada Azmin, beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya ditimbulkan kerana keputusan pemilihan menteri besar sudah dibuat.
“Saya sudah pun mengangkat sumpah jadi saya akan bekerjasama dengan semua parti bagi memastikan apa yang dijanjikan kepada rakyat ditunaikan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.