Gangguan Sistem Di KLIA Beransur Pulih, Kesesakan Berkurangan

SEPANG – Sistem Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dilaporkan menghadapi gangguan sejak beberapa hari lalu telah beransur pulih hari ini.

Kesesakan penumpang dilihat semakin berkurangan dan barisan penumpang di kaunter daftar masuk adalah lebih teratur.

Perkembangan tersebut adalah susulan daripada tindakan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menggantikan peralatan rangkaian yang kini sedang diuji dan dipantau dengan teliti untuk kestabilannya.

Tinjauan pada pagi ini mendapati keadaan di sekitar lapangan terbang itu juga terkawal dan kakitangan-kakitangan MAHB kelihatan hadir untuk membantu penumpang.

Ambassador CARE Airport atau Duta CARE, juga dilihat berusaha keras untuk memastikan keselesaan penumpang dengan mengedarkan minuman kopi dan teh dari pukul 6.30 pagi hingga 9 pagi.

Akhbar melaporkan semalam bahawa sebanyak 68 jadual penerbangan dilapokan mengalami kelewatan sehingga pukul 10 malam ekoran gangguan teknikal sistem pelayan di KLIA.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, gangguan sistem yang berlaku di KLIA adalah berpunca daripada kegagalan rangkaian.

Sebagai langkah untuk menyelesaikan permasalahan itu, katanya, pihaknya telah menggantikan peralatan rangkaian yang kini sedang diuji dan dipantau dengan teliti untuk kestabilannya.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan, pihaknya telah mengambil pendekatan berhati-hati dan akan terus berjaga-jaga kerana masih mengalami beberapa isu sekejap-sekejap (intermittent). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.