Tiga Tan Sri Perlu Ambil Tindakan

KUALA LUMPUR – Pendedahan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai penglibatan tiga Tan Sri dalam usaha menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh meletakkan keselamatan negara dalam keadaan berisiko.

 

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, dakwaan bekas Perdana Menteri itu sangat serius dan perlu disiasat secara terperinci kerana perbuatan tersebut boleh dianggap mengkhianati kepercayaan rakyat.

 

Lebih-lebih lagi jelas beliau, ke­tiga-tiga Tan Sri berkenaan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi mempertahankan keluhuran serta integriti penjawat awam dan bukannya terbabit dalam peranca­ngan menjatuhkan Perdana Menteri.

 

“Dakwaan Dr. Mahathir yang secara terbuka mengaitkan ketiga-tiga Tan Sri ini dalam usaha menggulingkan Perdana Menteri amat serius dan kita kini boleh mengagak bagaimana maklumat-maklumat sulit boleh terlepas ke negara lain.

 

“Pada saya, jika be­nar mereka mempunyai peranan se­ba­gaimana didedahkan Dr. Mahathir je­las sekali mereka ini amat tidak bertanggungjawab,” katanya sebagaimana dipetik daripada Buletin Utama, di sini semalam.

 

Kelmarin Dr. Mahathir mendakwa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed dikhianati pihak tidak dinamakan identitinya.

 

Bekas Perdana Menteri itu membuat pendedahan tersebut selepas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Ha­run menjelaskan laporan polis yang dibuatnya ke atas Zeti, Abdul Gani dan Abu Kassim berjaya menggagalkan usaha menggulingkan Perdana Menteri.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz yang juga Ahli Pa­nel Penasihat SPRM mendesak agar ketiga-tiga Tan Sri tersebut mengambil tindakan undang-undang ke atas Dr. Mahathir, jika merasakan dakwaan bekas Perdana Menteri itu fitnah.

 

“Mereka yang ketika ini kekal mengambil pendekatan berdiam diri perlu tampil menyaman Dr. Mahathir jika yakin berada di pihak benar kerana nama mereka telah didedahkan secara terbuka oleh Dr. Mahathir,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.