Seorang Maut, 30 Cedera Letupan Bom Di Pattani

BANGKOK – Seorang warga Thailand terbunuh manakala 30 lagi cedera selepas 2 bom meletup berhampiran sebuah hotel di Pattani, Selatan Thailand, menurut polis.

 

Kejadian itu berlaku kurang 2 minggu selepas siri letupan di wilayah selatan negara itu yang masih dalam penyiasatan.

 

Letupan pertama berlaku di sebuah tempat letak kereta di belakang Southern Hotel, menurut jurucakap polis, Winyu Tiamraj kepada Reuters hari ini.

 

“Letupan kedua datang daripada sebuah trak yang terletak di pintu masuk hotel, berlawanan sebuah pusat karaoke dan pusat urut, mengakibatkan satu kematian dan 30 kecederaan,” katanya.

 

Sebelum ini, beberapa letupan bom berlaku di 3 bandar peranginan Thailand dan sebuah bandar di wilayah selatan, mengakibatkan 4 terbunuh dan berpuluh-puluh tercedera.

 

Pelancongan merupakan satu-satunya industri menguntungkan di Thailand di sebalik krisis ekonomi yang melanda negara itu sejak pemerintahan tentera 2 tahun lalu.

 

Tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu, walaupun pakar keselamatan mengaitkannya kepada corak serangan tersusun dilakukan pemberontak di wilayah bergolak di Selatan Thailand.

 

Sejak 2004, pergolakan antara tentera kerajaan dan pemberontak menyebabkan lebih 6,500 orang terbunuh di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia.

 

Ketiga-tiga wilayah itu menolak pungutan suara awal bulan ini mengenai pelembagaan baharu yang disokong kerajaan tentera, sementara ia mendapat sokongan di bahagian lain negara itu. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.