Video: Kesabaran Saya Ada Hadnya, Kata Najib

ALOR SETAR – “Jangan cabar saya, kerana saya ada hadnya dan saya juga ada hak dalam parti,” demikian ketegasan yang disuarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kemelut yang berlaku dalam UMNO ketika ini, terutama mereka yang  secara terbuka mempersoalkan mengenai isu dana politik berjumlah RM2.6 bilion yang diterimanya.

 

Menurut Najib, jika mahu menegur pemimpin maka teguran perlu dilakukan secara beradab dan beliau menghormati mereka yang datang bertanyakan sesuatu kepadanya secara tertutup.

 

Jelasnya, isu dana tidak sepatutnya dipersoalkan kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini mengakui bahawa parti politik memerlukan dana.

 

“Isu dana janganlah persoalkan saya, kalau nak cerita saya boleh ceritakan pasal dana dulu-dulu, tetapi buat apa kita nak cerita.

 

“Semasa saya menjadi Timbalan Presiden, saya tidak pernah soal Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi). Saya tanya Pak Lah, dulu dia soal Tun Mahathir ke, dia kata tidak. Kita kena sokong ketua,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar, di sini, semalam.

 

Hadir sama ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 

Menurut Najib, beliau tidak mahu menceritakan mengenai kerugian dan kesilapan lalu kerana berpegang kepada prinsip bahawa ia adalah perjanjian kolektif bersama dan ia juga bukan sesuatu yang baik, bak menepuk air di dulang, terpercik air ke muka sendiri.

 

“Orang UMNO ada kerahsiaan, ada disiplin dan kasih sayang dalam parti serta dapat mengatasi sebarang halangan. UMNO mesti kita tatang dan UMNO mesti ada kesetiaan,” katanya.

 

Najib turut memberitahu bahawa beliau tidak akan melupakan Kedah dan akan memastikan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negeri itu.

 

“Semasa saya hendak melantik Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah, Ahmad Bashah menerimanya dengan akur, sebab itulah laluan Mukhriz sangat mudah.

 

“Apabila saya melantik beliau, semua menerimanya dan saya tidak perlu berjumpa seorang demi seorang kerana mereka tahu saya telah membuat keputusan.

 

“Sayalah pengurus, saya yang mengatur siapa penyerang, siapa pertahanan… tetapi jika ada yang menjaringkan gol sendiri, saya akan buang orang itu,” katanya tegas. – TV14

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.