Video: ‘Kami Akan Tolak Trektor Yang Nak Robohkan Rumah Kami’

Batu Ferringhi – Seramai 66 keluarga di Kampung Mutiara, di sini, menarik nafas lega apabila kerja perobohan rumah mereka ditangguhkan sehingga ke tarikh yang ditetapkan kelak.

 

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, selepas rundingan bersama peguam dan pemilik tanah di Balai Polis Batu Ferringhi pada jam 10 pagi tadi.

 

 

Ahmad berkata, notis perobohan berjaya ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga tempoh lima bulan bagi memberi laluan kepada rundingan di antara pemilik tanah dan kerajaan Pusat.

 

Katanya, Kerajaan Pusat menerusi beberapa agensi seperti UDA dan KHAZANAH bersedia untuk membeli 3.5 ekar tanah terbabit sekiranya pemilik tanah menjualnya pada harga berpatutan.

 

Terdahulu lebih 500 penduduk di sekitar Batu Ferringhi bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta UMNO negeri, berkumpul bagi menyatakan bantahan terhadap perobohan rumah penduduk Kampung Mutiara, di sini.

 

Kampung Melayu yang dibina sejak 48 tahun itu dijangka dirobohkan hari ini selepas notis arahan pengosongan mahkamah berakhir hari ini.

 

Sebanyak 38 rumah membabitkan 66 keluarga akan kehilangan tempat tinggal berikutan tiada sebarang rundingan diadakan antara pemilik tanah dan penduduk kampung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.