Pulau Pinang Akur Guna Tema Sehati Sejiwa Sempena Hari Kemerdekaan Ke-58

PULAU PINANG – Selepas mendapat bantahan dan kritikan banyak pihak, kerajaan DAP Pulau Pinang akhirnya akur untuk tidak menggunakan slogan `Bersih, Cekap, Amanah’ sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-58.

 

Sebaliknya menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, kerajaan negeri akan menggunakan tema sambutan Hari Kemerdekaan yang sama dengan kerajaan Pusat iaitu `Sehati Sejiwa’.

 

Menurut beliau, pertimbangan semula sehingga menyebabkan kerajaan negeri akur menggugurkan tema Bersih, Cekap, Amanah itu berikutan keputusan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menarik diri daripada menyertai perbarisan kemerdekaan kali ini.

 

Sebelum ini, kerajaan DAP Pulau Pinang dikritik banyak pihak selepas dikatakan akan menggunakan slogan `Bersih’ sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-58.

 

Perkara itu berikutan tersebarnya sekeping gambar berbentuk poster di laman sosial yang jelas tertera perkataan `Bersih’ yang didakwa akan digunakan dalam majlis sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri ini.

 

Ekoran itu juga, Pejabat Pendidikan negeri mengeluarkan surat pekeliling yang melarang pihak sekolah rendah dan menengah di negeri ini daripada menyertai acara perbarisan kemerdekaan sehingga mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

 

Bagaimanapun, kerajaan negeri selepas itu menafikan hanya akan menggunakan slogan `Bersih’ sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan, sebaliknya menjelaskan tema sebenar ialah Bersih, Cekap, Amanah. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.