POA Mata Wang Ringgit Bukan Perkara Luar Biasa

KUALA LUMPUR – Harga atas permintaan (POA) bukanlah isu yang besar kerana ia merupakan merupakan sesuatu yang normal bagi mata wang Ringgit di negara-negara luar.

 

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizuddin Nooh berkata pengurup wang di negara-negara tersebut mungkin tidak berdagang dengan mata wang Ringgit atau tidak mempunyai stok Ringgit yang banyak maka ia mungkin antara faktor yang menyebabkan dipaparkan POA pada papan senarai semakan tukaran wang.

 

Jelasnya, pergerakan nilai ringgit yang sentiasa mengalami kenaikan dan juga penurunan berbanding mata wang negara berkenaan juga boleh menyebabkan pengurup wang meletakkan POA pada Ringgit.

 

“Apabila rakyat Malaysia ingin ke China untuk melancong atau membeli-belah, sudah tentu akan menukar duit berkenaan di Malaysia dan tidak akan membawa duit Ringgit dalam jumlah yang banyak ke China.

 

“Sekiranya kekurangan wang, mereka boleh saja mengeluarkan wang di bank-bank atau mengaktifkan pengeluaran di melalui mesin ATM dan atau membeli menggunakan kad debit dan sebagainya.

 

“Jadi pihak yang menyebarkan perkara ini cuba mengambil kesempatan dan membesarkan perkara yang tidak menjadi isu langsung dari sudut ekonomi mahupun tukaran wang asing,” katanya kepada The Rakyat Post.

 

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penyebaran gambar menerusi Facebook dan blog mengenai mata wang Ringgit yang berada dalam status POA di dipaparkan POA pada papan senarai semakan tukaran wang.

 

Senario berkenaan menimbulkan kegusaran dalam kalangan warga Internet yang mengaitkannya dengan kelemahan nilai ringgit dan juga ekonomi negara pada ketika ini.

 

Tambah Noorizuddin, rakyat tidak perlu terlalu bimbang dengan penurunan nilai Ringgit pada ketika ini kerana kerajaan dan Bank Negara Malaysia sentiasa membaca dan memerhatikan trend penurunan berkenaan sebelum langkah mengatasinya dilaksanakan.

 

Ujarnya, kerajaan masih belum melaksanakan langkah fiskal atau apa-apa tindakan kerana ia masih belum perlu dilaksanakan pada ketika ini dan rakyat tidak perlu takut mengenainya.

 

“Rakyat tidak perlu risau mengenai trend penurunan ini kerana apabila tiba masa yang sesuai maka kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah untuk mengatasinya,” tegasnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.