GHB Ibarat Nyamuk Kecil, Kata Abdul Hadi

ALOR SETAR – Pas menyifatkan Harapan Baru umpama ‘nyamuk kecil’ yang mengganggu ketenteraman parti, namun ia bukanlah suatu masalah besar kepada parti.

 

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu pernah berdepan cabaran lebih besar sebelum kemunculan Gerakan Harapan Baru (GHB) dan semua masalah itu mampu diatasi sebaiknya.

 

“Kita anggap ia seperti nyamuk kecil, bukan cabaran besar.

 

“Pas pernah hadapi cabaran lebih besar pada tahun 80-an apabila presiden Pas keluar parti, diikuti lebih 10 pimpinan utama sehingga hanya tinggal seorang ahli parlimen ketika itu, iaitu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya, pada sidang media, selepas merasmikan Himpunan Tolak BN atau Perhimpunan Beristiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 8.0), di Kompleks Pas Kedah, semalam.

 

Menurutnya, parti itu mampu bangkit semula selepas apa yang berlaku dan membuktikan kes terpencil seperti kewujudan Harapan Baru, mampu diatasi.

 

“Masalah itu lebih mencabar dari sekarang ini. Kita boleh bangkit semula malah dapat menarik lebih ramai penyertaan dari golongan muda,” katanya.

 

Mengulas dakwaan konon Pas kini seolah-olah kembali kepada parti bertaraf kampung atau mengundur, Abdul Hadi bertegas mengatakan hanya pendekatan parti yang berubah.

 

“Dasar dan matlamat parti tidak berubah, hanya pendekatan kita berubah. Kita dapat lihat kini Pas bukan lagi parti kampung kerana sudah melibatkan semua peringkat masyarakat.

 

“Ahli Pas bukan sahaja dari golongan agamawan, tetapi termasuk profesional di mana penyertaan mereka semakin meningkat,” katanya.

 

Mengulas mengenai tema perhimpunan, ‘Istiqamah Hingga Kemenangan’, Abdul Hadi berkata, ia mengingatkan ahli supaya sentiasa beristiqamah secara konsisten dan tidak berganjak daripada dasar dan perjuangan Pas yang membawa rahmat kepada seluruh masyarakat majmuk. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.