FMAM Lega Nilai Ringgit Tidak Ditambat

KUALA LUMPUR – Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM) menyambut baik jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia tidak akan mengenakan kawalan modal atau menambat ringgit.

 

Persatuan itu berkata mengekalkan dasar mesra pasaran dialu-alukan oleh pasaran Kewangan yang mengalami turun naik pasaran agak teruk meskipun asas kukuh ekonomi.

 

Bank Negara Malaysia juga memberikan jaminan yang sama mengenai kawalan modal dan ringgit.

 

FMAM dalam satu kenyataan berkata komitmen ini akan membantu memastikan pasaran terus kekal kukuh dan berfungsi dengan baik.

 

“Menghapuskan kemungkinan kawalan modal berguna terutamanya kepada pelabur asing dalam usaha untuk menunjukkan komitmen berterusan Malaysia kepada modal terbuka dan akaun semasa,” kata persatuan itu.

 

FMAM ialah badan profesional yang menyokong pembangunan pasaran modal dengan ahli-ahlinya termasuk semua bank berlesen Malaysia milik tempatan dan juga asing.

 

Ia komited untuk menyediakan garis panduan kawal selia, melindung nilai dan penyelesaian transaksi kepada mereka yang terdedah kepada pasaran kadar pertukaran asing tidak menentu yang termasuk pengguna tempatan serta pelabur luar yang mahu melindung nilai dan melindungi pelaburan mereka di Malaysia. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.