DAP Mahu Sokongan PAS Untuk Sokong Undi Tidak Percaya Terhadap PM

PETALING JAYA – DAP memerlukan sokongan Pas, bagi meluluskan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Oktober depan.

 

Dalam erti kata lain, Penasihat DAP Lim Kit Siang perlu meminta jaminan dan kerjasama dengan bekas seterunya dalam Pakatan Rakyat (PR), iaitu Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Dalam kenyataannya, Kit Siang menegaskan usul itu boleh selamat jika sekurang-kurangnya 78 Ahli Parlimen pembangkang bersatu untuk menyokongnya dan selebihnya daripada Ahli Parlimen Umno dan BN.

 

“Walaupun bekas PR (DAP, PKR dan Pas) mempunyai sejumlah 88 Ahli Parlimen, adalah kurang bijak untuk sesiapa sahaja menyangka bahawa kesemua 21 Ahli Parlimen Pas akan menyokong usul itu kecuali ia dengan jelas disebut oleh Abdul Hadi sendiri.

 

“Kita juga tidak boleh menjangka sekurang-kurangnya 35 Ahli Parlimen UMNO dan BN bersedia menyertai (bergabung) pembangkang untuk menyokong usul itu,” katanya.

 

Usaha untuk mendapat sokongan daripada parti kerajaan dilihat berisiko selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa mempunyai bukti mengenai komplot menggulingkan kerajaan iaitu dokumen Akuan Bersumpah yang menyasarkan 37 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

 

Dokumen itu dikatakan telah disiapkan untuk ditandatangani oleh 87 Ahli Parlimen pembangkang dan satu daripada Bebas. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.