Dana Politik: Saya Pegang Dua Prinsip, Kata Najib

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata beliau berpegang kepada dua prinsip dalam usahanya untuk mendapatkan dana politik.

 

Najib yang juga Presiden Umno berkata, dua prinsip itu ialah ‘jangan mencuri duit orang’, dan ‘tidak menyalahi undang-undang’.

 

“Saya telah lama dalam politik, lebih 40 tahun, dan saya akan terus mempertahankan maruah dan kepentingan Umno.

 

“Untuk memastikan Umno terus berkhidmat kepada rakyat, saya sentiasa berusaha mencari dana untuk menggerakkan jentera parti,” katanya menerusi blognya iaitu NajibRazak.com hari ini.

 

Mengulas lanjut Najib berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah mengakui peri pentingnya setiap parti politik mempunyai dana untuk menggerakkan parti.

 

“Tun Dr Mahathir sendiri mengakui di dalam buku Transparency International, di mana dia sebut ‘every political party needs money’.”

 

Selain itu katanya, isu dana politik ini boleh diterangkan beliau kepada ahli-ahli Umno secara terperinci tetapi ia mestilah dilakukan secara tertutup.

 

“Perbincangan secara terbuka hanya akan merosakkan Umno. Saya ada hak sebagai Presiden parti dan ketika saya menjadi timbalan, saya tidak pernah menyoal Presiden parti mengenai dana yang diperoleh untuk Umno.

 

“Saya dipilih oleh perwakilan melalui sistem yang paling demokratik dalam Umno tanpa undi bonus atau kuota. Selagi ahli Umno pilih dan mahu saya, saya tetap akan terus memimpin Umno,” ujarnya.

 

Terdahulu isu dana politik timbul apabila adanya pendedahan mengenai RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib sehingga mencetuskan pelbagai pendebatan sehingga kini. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.