Tok Gajah Dibelasah Felda, Gagal Pertahan Rekod Tanpa Kalah

Kuala Lumpur  – Juara bertahan Pahang gagal mengekalkan rekod tanpa kalah apabila dibolosi dua gol pada penghujung perlawanan untuk tewas kepada Felda United 3-2 sementara juara Liga Perdana PDRM membuktikan cabaran mereka tidak boleh dipandang ringan apabila membelasah T-Team 4-1 dalam kempen Piala Malaysia malam tadi.

Skuad Tok Gajah kelihatan mampu meraih kemenangan mudah di hadapan penyokong sendiri di Stadium Darul Makmur, Kuantan apabila berada di hadapan seawal minit ke-17 menerusi jaringan R. Gopinathan. Namun Alex menyamakan kedudukan enam minit kemudian tetapi Matias Conti kembali meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-49.

Keputusan mengejut mula terbayang apabila Felda United kembali menyamakan kedudukan menerusi Edward Junior Wilson pada minit ke-63 sebelum pemain tengah Shukor Adan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban, Bobby Gonzalez menjaringkan gol pada minit ke-12 dan 67 ketika membantu PDRM menang selesa ke atas T-Team.

Penyerang dari Maldives, Ashfaq Ali turut menemui sasaran pada minit ke-24 dan gol keempat dijaringkan gol Charles Chad Souza pada minit ke-84 sebelum PDRM membenarkan pasukan pelawat menjaringkan gol sagu hati menerusi sepakan penalti Jimmy Mulisa dua minit sebelum perlawanan tamat.

Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) turut mencatatkan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Pulau Pinang dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Georgetown.

Amri Yahyah yang pertama kali beraksi selepas menamatkan hukuman gantung perlawanan meledak gol pertama pada pada minit ke-13 sebelum Safiq Rahim menggandakan jaringan seminit kemudian namun Pulau Pinang berjaya merapatkan kedudukan menerusi Lee Gil Hoon pada minit ke-65.

Pemain dari Argentina, Pereyra Diaz memastikan pasukan Harimau Selatan membawa pulang tiga mata berharga dengan menjaringkan gol ketiga lima minit kemudian.

Juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor pula bangkit daripada kekecewaan minggu lalu dengan menewaskan Sime Darby 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium MPS, Selayang.

Gol pertama Selangor dijaringkan penyerang dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-18 sebelum Hazwan Bakri meletakkan mereka pada kedudukan selesa pada minit ke-34.

Kelantan turut meraih tiga mata penuh selepas mengetepikan cabaran ATM 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi menjaringkan dua gol pada minit ke-60 dan 88 setelah Francis Forkey Doe menjaringkan gol pertama Kelantan pada minit ke-51.

Terengganu pula meranapkan impian Perak untuk merakam kemenangan ketiga berturut-turut apabila menumpaskan Bos Gaurus 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Abdul Manaf Mamat membuka tirai jaringan pada minit ke-30 selepas menerima hantaran cantik daripada Vincent Bikana sebelum pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Nasir Basharuddin dua minit kemudian.

Norfarhan Mohamad menjadi wira skuad Penyu apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-50 selepas benteng pertahanan pelawat gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Johor Darul Ta’zim II (JDT II) melakar kemenangan pertama selepas menundukkan Lions XII di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

JDT II meraih gol pertama pada pada minit ke-21 menerusi rembatan rendah Syafiq Shahrudin sebelum Lions menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi Hafiz Sujad.

Skuad kendalian Azmi Mohamed memastikan kemenangan menerusi jaringan pemain gantian Fandi Ahmad ketika perlawanan berbaki tujuh minit.

Aksi di Stadium Negeri, Kuching menyaksikan Kedah membawa pulang tiga mata selepas menundukkan tuan rumah 2-1 dengan pasukan pelawat membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi Mohd. Farhan Roslan sebelum Ryan Griffith menyamakan kedudukan pada minit ke-50.

Ketika perlawanan dijangka berakhir dengan keputusan seri, Billy Osman Mehmet muncul wira Lang Merah apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.