Rizab Selangor RM3 Billion, Akan Digunakan Untuk Bantu Anwar?

Kongres Nasional PKR Ke-10 di Shah Alam semalam ternyata hambar. Bukan sahaja disebabkan ketidakhadiran para pemimpin utama Pas semasa majlis perasmian, bahkan yang cukup terasa ialah ketiadaan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim.

Rupa-rupanya beliau ada aura dan tarikannya sendiri terutama di peringkat akar umbi.

Khalid dipecat daripada parti kerana enggan meletakkan jawatan yang menyaksikan hubungan PKR-DAP dan Pas tegang serta terburuk dalam sejarah pakatan itu.

Para perwakilan melangkah ke kongres tersebut ketika imej PKR merudum kerana berdepan dengan pelbagai masalah dalaman.

Selain krisis jawatan menteri besar, parti tersebut dibelenggu isu pemilihan yang diwarnai pergaduhan, ketegangan dan penipuan.

Seorang kenalan yang juga perwakilan memberitahu Awang, jika boleh dia mahu memakai topeng kerana malu dengan pelbagai isu daripada moral pemimpin hinggalah kemelut pemilihan yang belum mampu diselesaikan.

Tidak hairan mengapa banyak kerusi kosong termasuk pada Kongres Wanita dan Pemuda PKR, kelmarin.

Suasana muram itu adalah mesej daripada ahli-ahli PKR sendiri kepada kepimpinan terutama Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail. Kini PKR dikuasai oleh keluarga Anwar termasuk Nurul Izzah selaku Naib Presiden.

Anak-beranak inilah, yang dilihat menentukan pendirian parti dalam isu-isu besar, yang menyebabkan banyak ahli sudah merasa tidak senang.

Ini termasuk Langkah Kajang digerakkan oleh Anwar yang akhirnya membawa mudarat kepada PKR.

Kongres yang hambar itu merupakan satu lagi tamparan kepada anak-beranak tersebut terutama Anwar yang tampil dengan wajah yang kelihatan agak keruh.

Apa yang menarik untuk diketahui selepas kongres tersebut, apakah Wan Azizah dapat diangkat menjadi Menteri Besar sebagaimana yang suaminya perjuangkan habis-habisan, seolah-olah pemimpin lain tidak layak dan dipercayainya.

Apakah nanti Wan Azizah dapat menguasai rizab negeri Selangor berjumlah RM3 bilion, yang selama ini diurus dengan baik oleh Khalid.

Terdapat beberapa pihak seperti dilaporkan bimbang rizab itu akan digunakan antara lain bagi misi menyelamatkan karier politik Anwar termasuk membiayai siri demonstrasi jalanan besar-besaran sekiranya beliau dipenjarakan atas kesalahan meliwat.

Ketika kongres berlangsung, khabarnya Khalid kelihatan santai melakukan urusannya bersama keluarga.

Tiada sedikit pun riak wajahnya gundah atau tertekan. Beliau sudah bersedia untuk hadapi apa sahaja kemungkinan berhubung kedudukannya selepas ini.

Sama ada dikekalkan atau tidak, Awang percaya Khalid akan bangkit. Pada tangannya juga ada rahsia yang belum terdedah, yang bakal meledak jika suasana mendesak. – Awang Selamat (Utusan Malaysia)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.