Polis Buru Suspek Buang Rangka Bayi

Alor Setar – Polis sedang mengenal pasti identiti suspek yang membuang rangka bayi di sebuah kebun getah dekat Kuala Nerang pada 20 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu diminta menyalurkannya kepada pihak polis.

“Kita telah menerima aduan orang awam kira-kira jam 6.30 petang memaklumkan terjumpa tulang-tulang dipercayai bayi dalam sebuah beg yang ada tanda lencana sekolah, di ladang getah Hutan Palas, Kuala Nerang.

“Punca kematian masih belum dikenal pasti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, dua penduduk yang mahu membersihkan kebun getah mereka terkejut apabila menjumpai rangka bayi dalam beg sekolah.

Menurut laporan itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Padang Terap, Asisten Superintendan Chang Kut Choy berkata, rangka bayi dalam beg berkenaan belum dikenal pasti jantinanya.

Jelasnya, berdasarkan keadaan rangka itu, dipercayai ia telah ditinggalkan dalam beg tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.