MH17: Lebih Seribu Hadir Solat Jenazah Mohd Ghafar

Kuala Lumpur – Lebih 1,000 jemaah menunaikan solat jenazah penyelia penerbangan kabin pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Allahyarham Mohd Ghafar Abu Bakar di Masjid Taman Indah, Ampang di sini, Ahad.

Jenazah Allahyarham yang dibawa ke masjid itu pada 10.14 pagi dari kediamannya di Taman Bukit Indah, disambut beberapa anggota 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum diusung beberapa kakitangan MAS dan disembahyangkan pada 10.28 pagi.

Dua orang anaknya Ammar Syarif, 25, dan Afi Hazim, 14, bersama bapa saudara mereka Luqman Abdullah, 49, berada di saf hadapan untuk solat jenazah yang diimamkan Imam I Masjid Negeri, Shah Alam, Mohd Hata Ahmad.

Bersama-sama bersolat jenazah ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha dan Ketua UMNO bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Pada 10.44 pagi, jenazah Mohd Ghafar diusung keluar beberapa kakitangan MAS sambil orang ramai berebut-rebut menyentuh keranda sebagai tanda penghormatan terakhir kepada mangsa sebelum dibawa masuk ke dalam van jenazah.

Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Mukim Ampang Satu, Taman Kosas untuk dikebumikan.

Jenazah Mohd Ghafar, 54, yang tiba pagi Ahad dari Amsterdam dibawa dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke rumah keluarganya dan tiba 9.50 pagi.

Seawal 8.30 pagi lagi kawasan kediamannya mula dipenuhi kenalan dan jiran tetangga yang datang untuk menziarahi arwah.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Normi Abdullah, 54, dan tiga anak – Sa’imah Baizura, 29, Ammar Syarif dan Afi Hazim yang juga anak kurang upaya (OKU).

Allahyarham antara tiga lagi mangsa tragedi MH17 yang dibawa pulang hari ini selepas 20 jenazah dibawa pulang Jumaat lepas.

Pesawat MH17, dengan 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di zon bergolak itu namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Isteri Allahyarham, Normi Abdullah, ketika ditanya mengenai penerimaan anak bongsu mereka iaitu Afi Hazim yang merupakan anak sindrom Down tentang ketiadaan bapanya, Normi berkata dia seolah-olah memahami bahawa bapanya telah meninggal dunia.

“Dalam tempoh sebulan selepas kejadian, dia tidak bertanya apa-apa lagi tentang bapanya sehingga pada hari pengumuman identiti mangsa…dia ada cakap ‘ayah dah tak ada’…saya tanya macam mana abang tahu dan dia hanya menyebut ‘ALLAH’.

“Pada pemahaman saya, sedangkan kita orang biasa ada kalanya dapat perkhabaran melalui mimpi apatah lagi anak istimewa seperti dia…mungkin dia juga ada mimpi tentang ayahnya sudah tiada,” katanya dan menambah anak bongsunya itu terlalu rapat dengan bapanya.

Suri rumah itu berkata Allahyarham telah berkhidmat selama 33 tahun dengan MAS, dan kini anak sulungnya mengikut jejak langkah ayahnya bekerja sebagai pramugari di Singapore Airlines manakala anak keduanya bekerja di sebuah syarikat perbankan di ibu negara.

Meluahkan rasa terharu terhadap sokongan daripada rakan-rakan serta jiran tetangga, Normi berkata sejak tercetusnya tragedi itu sehingga hari ini, mereka tidak putus-putus datang menghulurkan bantuan.

“Alhamdulillah kerana masa puasa mereka tidak pernah putus menghantar makanan dan menziarahi saya sekeluarga termasuk pada hari raya,” katanya.

Allahyarham Mohd Ghafar yang merupakan Penyelia penerbangan kabin MAS, antara anak kapal yang mula melakukan aktiviti solat jemaah bersama-sama anak kapal di luar negara, kata rakan karibnya, Nadzri Hassan.

Nadzri, 57, yang juga penyelia penerbangan berkata kebiasaannya bila mereka terbang bersama, beliau akan jadi imam manakala Mohd Ghafar menjadi jemaah.

“Bila terbang bersama kebiasaannya kami dapat bilik masing-masing dan selalu kami berkongsi bilik dan bilik yang tidak diduduki akan dijadikan tempat untuk solat berjemaah,” katanya ketika ditemui di luar Kompleks Bunga Raya di sini, hari ini.

Beliau yang mengenali rapat Mohd Ghafar sejak 1981 semasa mula berkhidmat dengan MAS menyifatkan rakannya itu sebagai seorang yang kelakar, taat kepada agama dan tidak kedekut ilmu.

Sementara itu seorang anak kapal, Fatima Bibi Mira Maiddin, 38, menyifatkan Mohd Ghafar sebagai seorang ketua yang baik kepada semua tidak kira pangkat.

“Beliau melayan semua orang sama rata, Mohd Ghafar juga seorang ketua yang suka berjenaka,” katanya yang telah mengenali Mohd Ghafar selama 10 tahun.

Pramugari Ernee Hasnita Malik sebak sebaik sahaja kenderaan jenazah membawa jenazah Mohd Ghafar melintas di hadapannya.

Secara automatik, beliau mengimbas semula kenangan bersama-sama Mohd Ghafar, yang disifatkan sebagai sangat peramah dan tidak kedekut untuk ‘menurunkan ilmu’ sejak dirinya menyertai syarikat penerbangan MAS pada 1999.

“Beliau tidak pernah lupa memberikan tunjuk ajar dan sentiasa mengingatkan kami untuk bersolat semasa sedang bertugas,” katanya semasa ditemui selepas istiadat penghormatan jenazah.

Ernee Hasnita, 41, menambah kali terakhir mereka bertugas bersama-sama adalah Ogos tahun lalu, iaitu untuk operasi menyelamat membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir ekoran pergolakan di negara itu.

Bagi pramugari Rosmizar Asmim, 45, beliau tidak melepaskan peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Mohd Ghafar, meskipun baru pulang daripada bertugas dalam pesawat ke London pada semalam.

Beliau menyifatkan Mohd Ghafar lebih sebagai abang kepada semua kru MAS, meskipun memegang jawatan lebih tinggi daripada mereka.

Arwah juga sangat prihatin dengan kebajikan anak buah, dan sering bertanya kepada kru seliaannya jika mereka telah makan sebelum memulakan tugas, tambahnya.

“Dia adalah yang terbaik. Tidak ada sesiapa yang boleh menggantikan arwah….” katanya yang tidak dapat menghabiskan ayat kerana terlalu sedih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.