MB Selangor Akan Putuskan Tarikh Mengadap Sultan Isnin Ini

Klang – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan memutuskan tarikh untuk mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kedudukannya sebagai menteri besar pada Isnin ini.

“Saya akan maklumkan (Isnin ini) bila saya akan mengadap sultan dan selepas itu, akan diberi kenyataan media,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri makan malam anjuran alumni Sekolah Menengah Chung Hua di sini, hari ini.

Ditanya kemungkinan beliau akan mengadap Sultan Selangor pada Isnin ini, Khalid berkata perkara itu belum diketahui.

Kenyataan itu dibuat selepas hampir dua minggu beliau mengelak daripada bercakap kepada pihak media selepas dinasihat oleh Sultan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah baginda pulang ke tanah air.

Beberapa percubaan pihak media untuk mendapatkan kenyataan atau komen daripada Khalid sebelum ini, gagal.

Laporan media menyebut Sultan Selangor dijangka memendekkan percutian baginda di luar negara dan akan kembali ke tanah air esok.

Perkara itu disahkan sumber dari istana.

Sebelum ini baginda dijadual pulang pada 27 Ogos.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.