Lombong Emas Runtuh, 25 Maut Tertimbus

Bangui – Sekurang-kurangnya 25 maut kelmarin, ketika sebuah lombong emas yang terletak berhampiran bandar Bambari runtuh.

Menurut seorang jurucakap, Ahmat Negat, yang dipetik Reuters, lombong yang digali di bahagian puncak bukit itu terletak kira-kira 60 kilometer dari Bambari, di Republik Afrika Tengah dan dimiliki syarikat Kanada, Axmin.

Ahmat berkata, sekurang-kurangnya 27 orang dipercayai tertimbus dalam kemalangan itu dan setakat ini, 25 mayat telah dijumpai.

Lombong itu dipercayai dikuasai puak pemberontak lebih setahun lalu.

Kejadian itu sekaligus menjadi tamparan terbaru bagi negara tersebut yang mengalami masalah keganasan antara mazhab Seleka dan militia Kristian lebih setahun lalu.

Seorang pegawai kanan di Kementerian Galian, Georges Yacinth Oubaouba, mengesahkan pekerja lombong berkenaan tidak mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan dan bekerja dalam keadaan berbahaya.

Lombong berkenaan mampu menghasilkan kira-kira 15 kilogram emas sebulan, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1,106,350 di pasaran tempatan dan mampu menjangkau harga dua kali ganda, jika dijual di pasaran antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.