Laura Dedahkan Peristiwa Diraba Kru MAS

Kuala Lumpur – Wanita Australia berusia 26 tahun, Laura Bushney, yang mendakwa dirinya diraba anak kapal Malaysia Airlines (MAS) awal Ogos lalu, mendedahkan kejadian itu menerusi rancangan temu bual Australia malam ini (jam 6.45 petang waktu Malaysia).

Bushney mendakwa pramugara terbabit duduk di sebelahnya, selepas tiga jam penerbangan menuju Paris.

“Pramugara itu kemudiannya meletakkan tangan di atas peha saya, dengan alasan cuba menenangkan saya. Dia mengurut kaki saya. Saya amat takut dan hanya ingin turun dari kapal terbang.

“Saya asyik bertanya kepada sendiri, kenapa saya tidak menjerit? Kenapa saya tidak menghentikan perbuatannya? Saya seorang yang tabah dan mampu melakukannya,” katanya yang menyifatkan dirinya takut sehingga panik dan tidak dapat bersuara, demikian menurut laporan Sydney Morning Herald.

Bushney menaiki penerbangan itu secara sendirian dan dikatakan merakam insiden berkenaan menggunakan telefon pintar yang disorokkan di bawah selimut di atas pehanya.

Pramugara terbabit, dakwa Bushney, telah meletakkan tangannya di bawah selimut itu dan seterusnya ke dalam seluarnya.

Bushney berkata, dia juga sempat merakamkan perbalahan dengan pramugara berkenaan selepas kejadian itu.

Sejurus pesawat tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, pramugara terbabit ditahan polis.

Sementara itu, ada pihak yang berpendapat, Channel Seven bertindak tidak wajar dengan menyiarkan temu bual Bushney, ketika rakyat Malaysia masih berkabung atas tragedi pesawat MH17 yang mengorbankan 298 nyawa, termasuk 43 warga Malaysia.

Seorang warga Malaysia yang menetap di Hong Kong, Stephanie Yu, yang mendapat tahu mengenai program temu bual tersebut, ragu-ragu dengan dakwaan Bushney.

“Saya amat terkejut dengan keputusan rangkaian Channel Seven di Australia menemu bual Bushney ketika rakyat Malaysia berkabung.

“Saya telah pratonton rakaman itu dan mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan Bushney serta dakwaannya. Jadi, saya pun membuat siasatan dan menemui akaun Instragram lama kepunyaannya. Saya merasa sangat jijik dan marah.

“Jika benar pramugara MAS itu bersalah, saya percaya Bushney mungkin sengaja membiarkan kejadian itu berlaku dan membuat dakwaan selepas itu. Agak jelas dia memperbesarkan isu ini untuk tujuan publisiti atau sebab-sebab lain.

“Rakyat Malaysia sudah melalui tahun yang amat sukar. Orang ramai perlu melihat secara terperinci untuk memutuskan sama ada Bushney bercakap benar atau ianya penipuan semata-mata,”  kata warga Malaysia yang kini bekerja di Hong Kong.

Ketika dihubungi MAS menegaskan, syarikat penerbangan nasional itu akan mengambil pendirian tidak berpihak kepada sesiapa dan tidak akan memberi sebarang komen lanjut, kerana kes itu masih dalam siasatan.

 

Baca: Pramugara MAS Didakwa Sentuh Kemaluan Penumpang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.