Kritik Secara Tertutup, Agar Tidak jadi Peluru kepada Pembangkang

Kuala Lumpur – Meskipun menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang pemimpin veteran, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berharap kritikan bekas perdana menteri itu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat dilakukan secara tertutup dan bukannya disebarkan kepada umum agar ia tidak dijadikan “peluru” kepada pembangkang menyerang parti Melayu itu.

Ahmad ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seputeh hari ini berkata, zaman pentadbiran di antara Najib dan Dr Mahathir berbeza kerana perdana menteri kini berdepan dengan cabaran ekonomi dan memberi kebajikan kepada rakyat di negara ini.

“Saya ingin beritahu dalam dunia ini hanya tiga orang yang saya cium tangan iaitu bapa saya, Dr Mahathir dan Tun Abdullah Badawi. Zaman Dr Mahathir berbeza dengan Najib daripada ekonominya terutama daripada segi tanggungan subsidi minyak.

“Saya menghormati beliau sebagai seorang pemimpin Umno namun biarlah ia dibuat secara tertutup dan lagi bagus kalau secara empat mata kerana kita tidak mahu kritikan terbuka itu dijadikan peluru oleh pihak pembangkang menyerang kita,” kata ketua penerangan Umno itu.

Beliau kemudiannya berkata kepada pemberita, Umno menghargai segala kritikan bekas perdana menteri itu dan tidak mempunyai hasrat untuk “bergaduh” dengan Dr Mahathir kerana percaya ia merupakan teguran membina daripadanya.

“Kita menghormati beliau sebagai seorang negarawan saya secara peribadi amat menghormati Dr Mahathir dan kita tidak ada hasrat untuk bergaduh dengan beliau. Kita menghargai kritikan tersebut.

“Ia teguran membina dan biarlah akhirnya kritikan itu pulang kepada perdana menteri untuk memikirkan kembali teguran itu,” katanya.

Minggu lalu melalui blog miliknya, Dr Mahathir berkata beliau menarik balik sokongan kepada Najib dan kerana tegurannya kepada pemimpin itu tidak diendahkan.

“Saya tidak ada pilihan selain menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur,” kata Dr Mahathir.

Beliau bagaimanapun berkata, kritikannya terhadap Najib bukan isu peribadi dan bukan gesaan supaya pemimpin itu meletakkan jawatan.

“Tidak, saya tidak minta beliau letak jawatan, saya cuma tidak bersetuju dengan polisi beliau,” katanya.

Katanya, Najib terlalu lembut dan lebih suka mendiamkan diri ketika berdepan dengan masalah.

Malah bekas perdana menteri itu turut mendakwa pencapaian Najib lebih teruk berbanding penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Beliau tidak buat dengan baik dalam pilihan raya lepas. Saya harapkan beliau buat lebih baik,” katanya.

Dalam hal berkaitan Ahmad menjangkakan kerajaan mungkin akan mengumumkan rasionalisasi subsidi di antara Oktober dan November.

Bagaimanapun ketika ditanya pemberita beliau mendakwa tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai pelaksanaan semula subsidi tersebut.

Katanya, ini kerana ia di bawah bidang kuasa Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek, Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri  Ahmad Husni Hanadzlah.

“Saya tidak tahu butiran terperinci namun seperti saya katakan ia tidak akan menjejaskan golongan pendapatan sederhana,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.