Jangan Sesekali Usul Bubar Dun Selangor

Shah Alam – PKR hari ini memberi amaran kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak mengusulkan cadangan kepada Sultan Selangor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, jika Abdul Khalid terus bertegas untuk menghadap Tuanku tentang hal itu, ia hanyalah mahu mensabotaj mandat dan kepercayaan pada PRU13 lalu.

“Saya ingatkan Tan Sri Khalid dengan berbaki integriti dan nama baik itu, sebaik-baiknya uruskan peralihan kuasa dengan menghormati suara rakyat.

“Jangan berani sabotaj rakyat dengan membubarkan Dun Selangor, kerana berbulan-bulan kami tutup perkara ini (kes Khalid) sehinggalah terpaksa diambil oleh Biro Politik.

“Yang sudah itu sudahlah, bersara, hutang pun sudah habis bayar, jangan susahkan rakyat, tambahan lagi Wan Azizah sudah dapat sokongan majoriti 30 Adun walaupun tanpa surat daripada Pas,” katanya menggulung ucapan Presiden PKR pada Kongres Nasional PKR, di Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Namun Rafizi Ramli yang juga merupakan ahli parlimen Pandan sebelum ini berkata partinya sanggup berdepan risiko kehilangan Selangor sekiranya diadakan pilihanraya negeri.

“Biarlah kami hilang Selangor sekalipun asalkan kami tidak khianat kepercayaan rakyat terhadap kami,” kata beliau selepas sebuah forum di Kuala Lumpur pada 5 Ogos lalu.

Menurutnya PKR sebenarnya memang mahu menukar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejurus selepas memenangi 34 dari 56 kerusi Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke 13 tahun lalu tetapi dibantah oleh rakan sekutunya DAP dan PKR.

Hal itu juga diakui beliau menyebabkan pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali marah kerana sepatutnya beliau yang dilantik sebagai menteri besar.

“Keputusan tukar ADUN itu hak PKR tapi keputusan tukar menteri besar itu adalah milik Pakatan.

“Kalau ada seorang ADUN yang DAP dan PAS setuju kita dah dapat menteri besar baru dua tahun lalu,” kata beliau.

Malah Rafizi turut mengulanggi pendirian partinya itu ketika pihak media memintanya mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Jika kita perlu melakukan pilihan raya negeri untuk menyelesaikan (krisis jawatan menteri besar) dan kita kehilangan negeri dan jika itu berlaku. Saya bersedia, kami bersedia, PKR bersedia. Saya pasti DAP juga bersedia manakala Pas perlu membuat keputusan,” katanya kepada pihak media sebelum ini.

Selain beliau turut membidas ahli dan pemimpin parti itu yang secara terbuka kerana mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengakui wujud bantahan dalaman berhubung ‘Langkah Kajang’ yang bertujuan menjadikan Anwar sebagai menteri besar Selangor, Rafizi turut mencabar ahli PKR supaya keluar parti jika tidak bersetuju dengan ketua umum itu.

“Kalau kita pun salahkan Anwar, cari parti lain. Salahkan Anwar sama dengan kita bersekongkol dengan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya lagi.

Sejak ‘Langkah Kajang’ dimulakan pada Januari lalu, Anwar dan Rafizi menjadi mangsa kritikan termasuk anggota PKR yang tidak bersetuju dengan idea menggulingkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain itu, Rafizi turut menggunakan pentas kongres PKR untuk mempertahankan budaya nepotisme yang wujud dalam parti itu.

Katanya, tidak salah struktur kepimpinan PKR dimonopoli oleh keluarga Anwar kerana mereka mempunyai kelayakan dan kekuatan tersendiri.

“Soal nepotisme ini sebenarnya datang dari anggota parti kita sendiri. Malah isitilah ‘Istana Segambut’ juga dilabelkan oleh ahli kita sendiri.

“Tapi kita harus ingat, setiap seorang daripada mereka mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya.

Anwar dikirtik kerana menjadikan PKR sebagai ‘parti anak beranak’ apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadikan presiden sementara anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar menduduki kerusi naib presiden.

Untuk rekod, kedudukan Anwar sebagai ketua umum merupakan jawatan lantikan yang tidak dipertandingkan.

Tambah Rafizi, ahli PKR turut dicabar supaya bertanding menentang Anwar dan keluarganya pada pemilihan akan datang.

“Kalau mereka ini teruk sangat, cabarlah mereka dalam pemilihan akan datang,” katanya.

One thought on “Jangan Sesekali Usul Bubar Dun Selangor

  • August 24, 2014 at 5:13 pm
    Permalink

    Si Rafizi bangang ni tak tahu yg kedudukan MB di bawah tangan rakyat jati selangor.Bersiaplah nanti bila pilihanraya baru diadakan nanti, kau tahulah nanti langit tinggi rendah. Kamu akan dibuang spt sampah ditepi longkang…moga moga tuhan tunaikan permitaan kami.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.