Hadi Dakwa, Ada Ahli PAS Tak Beradab Dalam Berjemaah

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui terdapat ahli parti itu tidak beradab dalam “berjemaah” dan bertindak mendahului pemimpin.

Hadi membayangkan masalah partinya menerusi kenyataan berkiasnya melalui video di laman Facebooknya menyatakan terdapat ahli bukan PAS sahaja bertindak mendahului pemimpin tetapi juga mahu ketua mengikut apa sahaja langkah dimahukan mereka.

“Kalau sembahyang berjemaah ada adab bersembahyang berjemaah. Antaranya imam boleh baca kuat, maksum tidak boleh baca kuat. Kalau kata ‘amin’ tidak apalah. Ini baca Al-Fatihah sama kuat dengan tok imam juga.

“Kemudiannya rukuk dan sujud tidak boleh dahului imam. (Mereka) ini pintas rukuk dan sujud (dahulu daripada iman). Ini yang berlaku.

“Jadi kita kena ada adab-adab berjemaah. Kadang- kadang (apabila) berasa lambat sudah hendak suruh beri salam dengan (segera) suruh tok imam beri salam deras ini masalah yang kita hadapi,” katanya.

Kenyataan Hadi itu dipercayai merujuk kepada kemelut politik yang berlaku di Selangor apabila pendirian beliau dan Majlis Syura Ulama disanggah oleh beberapa pemimpin PAS berhubung kedudukan menteri besar.

Selain itu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Selangor Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) menyatakan pendirian mereka menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum pucuk pimpinan tertinggi PAS belum membuat keputusan mengenai perkara tersebut pada 17 Ogos.

Hadi mula mencetuskan kontroversi apabila membuat kenyataan menyokong Khalid kekal sebagai menteri besar Selangor bercanggah dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang sudah bersetuju melantik Dr Wan Azizah.

Bagaimanapun pada 17 Ogos, PAS akhirnya bersetuju menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon pengganti Khalid dan turut menamakan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai calon kedua.

Namun pada sebelah malamnya, PR sebulat suara bersetuju untuk menghantar hanya satu nama iaitu Dr Wan Azizah selepas Azmin menarik diri kerana menghormati keputusan partinya.

Esok PAS akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan sama ada 13 Adunnya lagi akan menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar yang baru atau tidak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.